KUALA LUMPUR, 13 Jun – Sekitar beberapa peratus sahaja rakyat Malaysia yang telah lengkap divaksin sehingga 11 Jun 2021, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Jelas beliau, seramai 2.9 juta telah menerima dos pertama, manakala cuma 1.2 juta melengkapkan dos kedua.
Rakyat Malaysia ujarnya dianggarkan lebih 32 juta dan jika pun separuh perlu divaksin segera sudah 16 juta.
“Sangat perlahan dibandingkan negara-negara lain yang telah pun mencapai imuniti kelompok. Jika keadaan ini berterusan berapa lama lagikah sebelum Malaysia dapat mencapai ‘herd immunity’ sedangkan masyarakat negara lain telah pun kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
“Ekonomi mereka telah kembali bergerak secara normal dan rakyatnya mula bebas ke sana sini. Sampai bila negara perlu berdepan PKP demi PKP dan Ordinan Darurat yang menggantung demokrasi?
“Apabila dipersoalkan perkara ini dituduh bermain politik, rakyat jua seolah-olah mahu dipersalahkan walhal hampir 14 juta rakyat Malaysia telah pun mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Persoalannya, mahu kata ramai rakyat enggan ambil vaksin apa lagi?
Ujarnya, namun sehingga hari ini sebahagian besar mereka belum dipanggil menerima suntikan.
“Banyak rungutan seperti ibu bapa sudah berusia 60an dan ada penyakit belum terima vaksin walau telah lama mendaftar. Tidakkah kita patut cemburu pada negara lain dan mempercepatkan proses vaksinasi.
“Bukankah kerajaan sendiri menyatakan sangat terbeban dengan kesan COVID-19? Tetapi sistem pemberian vaksin yang perlahan langsung tidak membantu permasalahan itu,” katanya lagi.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut menambah sepatutnya 14 juta rakyat Malaysia yang telah mendaftar itu telah pun selesai divaksin dan ini akan memberi sokongan moral dan psikologi kepada yang lain untuk turut mendapatkan vaksin.
“Pusat vaksinasi perlu diperluaskan lagi untuk memudahkan akses rakyat menerima suntikan mungkin boleh terus ke setiap komuniti. Siapa yang telah daftar dan layak di situ diberi suntikan.
“Jika negara lain mencapai imuniti kelompok bulan lepas, Malaysia wajar mencapainya bulan depan. Kita tidak boleh menunding isu kelewatan ini terhadap para petugas barisan hadapan dan mereka berkhidmat siang dan malam mengikut sistem, ketetapan dan dasar yang dibuat kerajaan.
“Dalam masa sama saya menyeru sukarelawan UMNO di seluruh Malaysia terus membantu rakyat pertingkatkan usaha menggerakkan penduduk setempat mendaftar dan mengambil vaksin serta semoga sumbangan kita diangkat oleh Allah S.W.T sebagai amal jariah dengan pahala yang besar” ujarnya lagi.
Bagaimanapun sentiasa pastikan keselamatan diri semasa menabur berbakti, tegasnya – UMNO Online