KUALA LUMPUR, 28 Jun – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah meneliti pengumuman khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berjumlah RM150 billion oleh Perdana Menteri.
Jelas ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, umumnya, Pemuda UMNO menyambut baik kesediaan Kerajaan memenuhi lima tuntutan utama rakyat yang sedang bertarung bagi memenuhi kelangsungan hidup dalam tempoh berkurung sepanjang 48 hari di bawah PKP 3.0.
“Pemuda UMNO Malaysia akan terus memantau bagi pihak Rakyat agar pelaksanaan bagi setiap inisiatif ini dapat disegerakan serta tidak tersekat oleh kerenah birokrasi yang menyulitkan berdasarkan pengalaman pakej-pakej bantuan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit yang disiarkan menerusi laman facebooknya, hari ini.
Jelas Dr Asyraf Wajdi lima tuntutan rakyat yang dibangkitkan oleh Pemuda UMNO yang diambil kira hampir kesemuanya oleh Kerajaan termasuk:
(1) Bantuan tambahan tunai untuk rakyat yang dipenuhi Kerajaan untuk menyediakan peruntukkan khas tambahan RM10 billion bagi bantuan tunai langsung seperti Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP).
(2) Moratorium automatik yang turut diperluaskan kepada semua golongan termasuk B40, M40 dan PKS. Cuma diharapkan dapat memastikan bank-bank tidak mengenakan sebarang faedah atau caj tambahan yang pasti membebankan rakyat.
(3) Pemuda UMNO Malaysia juga menyambut baik pengenalan inisiatif i-Citra KWSP menggantikan i-Sinar dengan jumlah siling pengeluaran simpanan RM5,000 (RM1,000 sebulan). Diharapkan juga dapat dipermudahkan dan disegerakan segala urusan pengeluaran.
(4) Keputusan Kerajaan untuk menyediakan diskaun bil utiliti juga disambut baik kerana ianya akan memberi manfaat kepada isi rumah terbanyak.
(5) Pemuda UMNO Malaysia juga berharap agar Kerajaan melalui KPDNK untuk menggandakan usaha bagi memastikan bekalan barangan asas keperluan seperti minyak masak mencukupi dan terkawal.
Dilaporkan, terdahulu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pengumuman memberikan pelbagai bantuan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berjumlah RM150 bilion yang merupakan kesinambungan daripada tujuh program bantuan dan pakej rangsangan sejak pandemik COVID-19 melanda negara awal tahun lepas. – UMNO Online