KUALA LUMPUR, 5 Julai – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan setinggi penghargaan terima kasih kepada UMNO bahagian dan cawangan-cawangan di seluruh Malaysia.
Kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, ucapan terima kasih juga dizahirkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang tidak putus-putus menghulurkan bantuan kepada rakyat dalam kesusahan.
“Syukur Alhamdulillah ramai yang tampil memberi bantuan yang tidak putus-putus. Tetapi kita faham sumber mereka kadangkala terhad untuk memastikan bantuan secukupnya kepada semua.
“Kita berharap lebih ramai tampil nenghulurkan sumbangan melalui NGO untuk disalurkan kepada golongan memerlukan.
“NGO juga barisan hadapan kita. Berusaha membantu rakyat dalam kesempitan. Mereka ke sana ke sini menyampaikan bantuan kita,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.
Mereka ini tambah Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, pada kebanyakan keadaan lebih laju berbanding kerajaan dalam hal-hal bantuan kepada rakyat.
“Bagaimanapun alangkah baik jika ada bantuan selain makanan turut disalurkan oleh golongan berkemampuan melalui NGO. Antaranya bantuan berbentuk keusahawanan seperti peralatan untuk menjaja.
“Supaya rakyat yang dalam kesusahan disebabkan pengurusan COVID-19 cacamarba dapat kembali berdiri di kaki sendiri.
“Nak harap wang i-Citra kena kumpul beberapa bulan baru cukup buat modal. Belum sempat kumpul tak tahu apa masalah pula menimpa,” katanya. – UMNO ONLINE