KUALA LUMPUR, 8 Julai – UMNO sekali lagi menegaskan pendirian untuk tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) ataupun Kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH Led Government).
Hal tersebut dinyatakan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memaklumkan bahawa keputusan ini adalah sebagaimana yang telah diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2020.
“Mesyuarat MKT malam ini juga mempertegaskan pendirian sebagaimana yang telah diputuskan di Perhimpunan Agung UMNO 2020, untuk tidak sesekali menyokong sebarang usaha mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ataupun Kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-PH (DAP-PH Led Government),” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian dalam satu sidang media yang dilaksanakan secara maya selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam tadi.
MKT UMNO kali ini dilaksanakan secara maya bermula 8.30 malam berikutan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih dilaksanakan sebagai langkah mengekang penularan COVID-19.
Dilaporkan, sebelum ini UMNO beberapa kali dikaitkan dengan jajaran kerjasama baharu bersama Pakatan Harapan (PH) khususnya PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) sehinggakan pelbagai cerita, poster dan surat tular dalam media sosial. – UMNO Online