KUALA LUMPUR, 22 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan kekesalannya akibat angka jangkitan COVID-19 yang masih tinggi dengan angka kematian hari ini sebanyak 199 orang dilaporkan iaitu angka tertinggi dicatatkan sejak pandemik ini melanda negara.
Justeru tegasnya, ‘crony capitalism’ diharap tidak berlaku di Malaysia.
“Namun jangan kepentingan kapitalis, seperti pemilik kilang mengatasi nyawa rakyat,” ujarnya menerusi ciapan dalam Twitternya.
Beliau berkata demikian ekoran peningkatan kes jangkita COVID-19 yang tinggi masih dikaitkan dengan jangkitan di tempat kerja iaitu melibatkan 17 kluster, hari ini.
“Di kampung saya, cucu kerja kilang mendapat COVID-19 telah sebabkan keluarganya dikuarantin. Akibatnya nenek juga dijangkiti COVID-19 dan meninggal dunia hari ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pontian.
Sehubungan itu, beliau menggesa agar kerajaan dapat bertindak tegas terhadap kilang-kilang yang telah mewujudkan kluster COVID-19 di tempat kerja.
“Saya cadangkan agar tutup kilang yang tak patuh SOP, tutup semua kilang selama 16 hari di seluruh negara, vaksinasi dua dos semua pekerja untuk kilang boleh operasi dan benarkan kilang beli dan urus vaksin sendiri. Agensi berkaitan kawal ketulenan vaksin,” katanya lagi.
Dilaporkan, dalam tempoh 24 jam lepas, Malaysia mencatatkan kes baharu COVID-19 sebanyak 11,985 kes, dengan Selangor kekal merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 5,550. Terdapat 30 kluster baharu dikesan melibatkan 17 kluster tempat kerja, lapan kluster komuniti, dua kluster kumpulan berisiko tinggi, dua kluster keagamaan dan satu kluster pendidikan tinggi, menjadikan jumlah kluster aktif kini 931 kluster. – UMNO Online