KUALA LUMPUR, 24 Julai – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mencadangkan agar kerajaan dengan segera mempertimbangkan suatu inkuiri awam yang bebas untuk menyiasat insiden suntikan picagari kosong.
Katanya, ini kerana rakyat berhak mengetahui kedudukan yang sebenar dan kewibawaan sistem kesihatan negara mesti segera dipulihkan.
“Insiden suntikan picagari kosong dan penyelewengan vaksin telah menjejaskan kredibiliti sistem vaksinasi nasional. Kenyataan kerajaan bahawa mereka yang terlibat akan diberikan vaksin semula adalah respon yang sangat simplistik.
“Kemudian dicadangkan pula bahawa orang ramai yang ragu-ragu sama ada mereka telah divaksin dengan sempurna harus mengambil ujian antibodi untuk memastikan sama ada kita telah mempunyai perlindungan.
“Ini semua adalah sangat tidak munasabah. Siapa yang harus menanggung kos ujian seterusnya ini?” soal beliau menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Ketua Bahagian Pasir Gudang juga berpendapat cadangan pengeluaran kad khas pengesahan vaksinasi adalah tidak relevan kerana sijil digital juga boleh diuji kesahihannya melalui jaringan data vaksinasi.
“Jangan bebankan kerajaan dan rakyat dengan pelbagai kad yang tiada kepentingan langsung. Cadangan pengeluaran kad khas adalah pembaziran dana awam.
“Ia nampaknya bermotifkan perniagaan dan bukan keselamatan ataupun kesihatan. Manfaatkan sistem MySejahtera dan mantapkan ia dengan usaha pengesahan vaksinasi antarabangsa dengan perkongsian pengkalan data vaksinasi dengan sistem imigresen kita.
“Ini bermakna pengesahan akan dapat dilakukan dengan semakan data pasport oleh pelbagai pengawal sempadan antarabangsa negara lain bagi tujuan perjalanan antarabangsa,” jelas beliau.
Sementara itu untuk tujuan domestik pula, Mohamed Khaled berkata data MySejahtera juga boleh dikemaskini dalam kad pengenalan bagi tujuan pengesahan.
“Namun semua ini tidak harus mendiskriminasi mereka yang memilih untuk tidak divaksinasi atau tidak boleh divaksinasi.
“Rakyat bebas untuk hidup dengan pilihan dan kepercayaan mereka. Jangan sesekali sijil digital atau apa kaedah pengesahan vaksinasi menjadi halangan kepada kebebasan hak asasi,” tegas beliau. – UMNO Online