KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Ramai tertanya-tanya apakah sikap dan pendekatan Presiden UMNO selepas ini? Sikap dan pendekatan terhadap isu-isu kepentingan rakyat dan negara selepas kerajaan bertukar?
Persoalan tersebut dijawab oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan berkata tiada apa yang akan berubah dan tiada apa yang akan berkurangan.
“Kepentingan rakyat dan negara tetap jadi keutamaan walau dalam apa jua keadaan.
“Terus memantau, memberi pandangan dan nasihat, idea, cadangan serta teguran yang sewajarnya.
“Tujuannya dengan hasrat membantu kerajaan baharu membendung penularan wabak COVID-19. Serta memacu kembali ekonomi negara yang terkesan teruk sejak beberapa tahun lalu,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu perkongsian di Facebook.
Begitu juga kata Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mengenai kebajikan rakyat yang wajib diberi perhatian serius.
“Lagipun ini selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak bekerjasama memulihkan negara.
“Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO juga telah menetapkan panduan untuk kerajaan baharu,” katanya.
Ulasnya lagi, parti menaruh kepercayaan tinggi kerajaan baharu di bawah Perdana Menteri baharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersikap terbuka.
“Insya-Allah UMNO dan Presidennya tetap bersama rakyat demi Raja demi Negara,” ujarnya.
Pada 21 Ogos lalu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, di sini bagi mengisi kekosongan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri Kelapan pada 16 Ogos lepas susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
Pada 27 Ogos, Ahmad Zahid di dalam kenyataan medianya selepas mempengerusikan mesyuarat MKT berkata UMNO menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas perkenan baginda melantik Ismail Sabri selaku Perdana Menteri Malaysia Kesembilan.
Begitu juga katanya mengenai beberapa panduan utama telah dibincangkan dan dipersetujui MKT bersama Perdana Menteri, antaranya menyahut titah saranan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan kerjasama dan permuafakatan rentas parti bagi bersama-sama menangani kemelut ekonomi, pandemik COVID-19 dan kesejahteraan rakyat.
Kerajaan baharu ini juga hendaklah segera memfokuskan usaha untuk menangani pandemik COVID-19 dan proses vaksinasi agar mencapai imuniti kelompok yang mampu mengurangkan risiko kematian akibat serangan virus.
Kerajaan juga mesti menyantuni kehendak dan tuntutan rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan mereka termasuklah penambahbaikan pakej-pakej bantuan rakyat (BPN, BPR dan BKC), moratorium tanpa faedah terakru, pengeluaran i-Citra secara one-off dengan jumlah minimum RM10,000 dan bantuan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat pandemik.
Seterusnya, kerajaan terus menggunakan jenama ‘Keluarga Malaysia’ dan Kerajaan Malaysia serta tidak lagi menggunakan penjenamaan Kerajaan Perikatan Nasional memandangkan kerajaan ini merupakan kerjasama politik longgar antara Parti Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC dan PBRS), Parti Perikatan Nasional (PPBM, PAS dan STAR), GPS dan PBS.
Selain itu, kerajaan hendaklah mempertahankan peranan dan sistem demokrasi berparlimen sebagai wahana semak dan imbang kepada kerajaan dan juga penubuhan segera Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) bagi menyiasat segala pendedahan yang dilakukan oleh Tommy Thomas mengenai campur tangan politik dalam Institusi-institusi Peguam Negara, Kehakiman dan Keselamatan yang menjadi benteng mempertahankan Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang Negara. – UMNO ONLINE