KUALA LUMPUR, 5 Sept – “Bagi mereka yang tidak mengerti atau berkata sebaliknya tentang Presiden UMNO tidak mengapa kerana selagi UMNO berada di landasan rakyat menuju kebangkitan terulung pada PRU-15, itulah yang utama.
Demikian tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengimbas perjalanan sepanjang tiga tahun dalam jawatan terbabit.
“Pejam celik pejam celik sudah lebih tiga tahun sejak diri diamanahkan menggalas tugas sebagai Presiden UMNO. Pantas sungguh masa berlalu meninggalkan sejarah dan cerita semalam menuju esok mencipta pengharapan.
“Namun kisah tentang sebuah kepercayaan dan keyakinan bertarikh 30 Jun 2018 mala segar dalam ingatan.
“Kisah kepercayaan majoriti ahli UMNO memilih sosok ini bagi meneruskan dan mengetuai perjuangan mereka. Dan bersyukur ke hadrat ilahi tidak pernah sesekali insan kerdil ini terlupa lagi terabai terhadap keyakinan diberi,” katanya menerusi laman facebooknya, hari ini.
Ujarnya, masih diingati saat dipertanggungjawabkan sebagai Presiden UMNO dalam hati dan perasaan sentiasa bertanya, apakah yang harus dilakukan untuk parti ini bangkit selepas tewas PRU-14 angkara fitnah dan pembohongan.
“Bukan mudah kerana UMNO tidak pernah gagal dalam sejarah politiknya selama berpuluh tahun untuk agama, bangsa dan negara.
“Mengharungi 14 Pilihan Raya Umum (PRU), menang 13 kali dan kalah sekali pada PRU 2018 memang amat berat untuk diterima, maka telah disematkan dalam sanubari dengan penuh yakin dan istiqamah diri bahawa UMNO tidak akan tenggelam.”
Katanya, insan ini akan pastikan UMNO kekal relevan, menidakkan sindiran, ejekan dan tekanan yang mahu kita ke penghujung.
“Syukur alhamdulillah prinsip, pegangan dan pendirian itu tidak pernah pudar walau apa ujian dan dugaan datang dan pergi.”
Dalam masa yang sama beliau turut menyertakan sepotong ayat dari Surat An-Nahl: 96 yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan.” – UMNO Online