Persefahaman Rentas Parti Membantu Kestabilan – Tidak Lebih, Tidak Kurang

1. Untuk apa MoU ini?
Persefahaman antara blok Kerajaan dan pembangkang adalah sejajar dengan tuntutan semasa iaitu kestabilan politik sehingga PRU 15.


2. Adakah persefahaman ini bermakna Kerajaan=Pembangkang? UMNO sudah bersama dengan parti lain?
Sepertimana disebut oleh Anthony Loke sendiri, ini tidak bermaksud pembangkang akan berhenti menjadi pembangkang, jauh sekali menjadi sebahagian Kerajaan. Saya yakin pembangkang masih akan menjalankan peranan mereka mengkritik dan memberi semak imbang kepada Kerajaan. Mereka tidak akan lepaskan lesen tersebut.

Sama juga bagi pihak Kerajaan, persefahaman ini tidak bermaksud kita terus memadam sebarang perbezaan antara parti, ataupun berkongsi kuasa memutuskan sesuatu. Keputusan akhir apa sahaja dasar masih ditangan Kerajaan – dan pembangkang juga memahami hakikat ini.


3. Kalau masih Kerajaan yang “control”, dan pembangkang tetap pembangkang, untuk apa tandatangan MoU?
Pengisian penuh persefahaman ini akan diteliti. Namun, di peringkat awal, ia memberi harapan bahawa Kerajaan dan pembangkang dapat bekerjasama mengamalkan demokrasi bermusyawarah terutamanya dalam Parlimen ke arah melahirkan keberhasilan yang terbaik untuk rakyat melalui kestabilan politik.

Contohnya, dengan pembabitan pembangkang dalam jawatankuasa pilihan khas di Parlimen. Atau pembabitan dalam pelan memerangi Covid-19.

Walaupun yang buat keputusan tetap Kerajaan, dengan pembabitan pembangkang dalam perbincangan atau idea, tentunya ia membantu ke arah mereka menyumbang kepada kestabilan politik yang menjadi isu pokok kebelakangan ini. Dari segi konsepnya, kerjasama bipartisan bukan perkara baharu – cuma kali ini diperhebat dan kaedahnya lebih formal daripada biasa.


4. Apa lagi tujuan MoU ini selain kestabilan politik?
Sebahagian dari reformasi institusi yang lewat ini juga semakin banyak diperjuang oleh UMNO dan pemimpinnya seperti DS Azalina Othman, akan dapat dilaksanakan. Sebelum ini soal “reform” dan pembaharuan kerap dilaungkan oleh Pakatan Harapan, tetapi kali ini UMNO boleh lebih kehadapan mempeloporinya.


5. Adakah ini bermaksud “No DAP No Anwar” sudah lapuk?
Apa yang disebut di PAU bukan sekadar No DAP, No Anwar untuk PRU15. Malah juga disebut No PPBM. Jika ada sebarang perubahan dasar, ia hanya boleh dibuat oleh PAU atau MKT.

Seperti disebut diatas, persefahaman ini bukan kerjasama untuk berkongsi kuasa dengan PH, jauh sekali untuk mengangkat mereka menerajui negara.
Ia untuk kestabilan politik pada situasi unik sekarang; buat masa sekarang, tidak lebih, tidak kurang dari itu.


6. Adakah begitu mudah kita percaya dengan PH?
Tahap skeptikal antara Kerajaan dan Pembangkang tidak hilang sekelip mata. Masing-masing akan melihat tindakan pihak lain. Masih ada ruang untuk PH tidak mengotakan janji membantu Kerajaan – jadi amat bersetuju dengan DS Shamsul Anuar Nasarah mengingatkan agar Kerajaan berwaspada. Ia bukan lesen untuk selesa di tampuk kuasa menganggap takkan dikritik mahupun dibangkang.


7. Siapa yang mendapat kelebihan melalui MoU ini? Adakah UMNO atau PH?
Utamanya, diharapkan rakyat dan negara mendapat keuntungan persefahaman ini melalui dasar yang dilaksana dan kestabilan yang tercapai, jikapun untuk seketika.
Kedua, hal PH itu biarlah wakil PH yang hujahkan, sama ada mereka mahu dilihat matang, berkorban demi rakyat atau naratif lain – masih belum jelas setakat ini.

Tetapi dari sudut UMNO dan BN, kita mampu mendapat kelebihan kerana buat ketika ini Kerajaan pimpinan UMNO diberi ruang mentadbir. Jika orang lain mahu menyokong pentadbiran UMNO atas sebab mereka sendiri, dan selagi kita boleh merasionalkan tuntutan mereka tidak mencederakan rakyat atau melangkaui batasan parti, kita uruskan-lah ke arah kelebihan sendiri juga.


Apapun, segalanya masih tertakluk kepada prestasi Kerajaan dan pengadilan rakyat. Persefahaman apa sekalipun, jika Kerajaan tidak menggunakan peluang yang ada berkhidmat dengan baik, UMNO juga yang akan dihukum PRU15. Namun, jika Kerajaan berprestasi cemerlang, imej UMNO juga meningkat.

Jadi bagi orang UMNO, ada baik kiranya memberi peluang dan ruang melihat sebarang persefahaman yang memperkuat kedudukan Kerajaan pimpinan UMNO sekaligus mampu membantu meningkatkan kebarangkalian prestasi yang baik.

Wallahua’lam.


SHAHRIL HAMDAN
KETUA PENERANGAN UMNO