KUALA LUMPUR, 25 Okt – Setiausaha Agung Dap, Lim Guan Eng hari ini dibidas ekoran kenyataannya terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dianggap biadap dan dilihat cuba mengadu domba di dalam parti.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata apa yang disebut oleh Setiausaha Agung Dap bahawa kenyataan Ahmad Zahid “tak boleh pakai” merupakan suatu kenyataan yang tidak mencerminkan senario sebenar dan kematangan yang wujud dalam UMNO.
“Saya tak tahu dalam DAP senarionya macam mana kalau gaya bahasa SUAnya begini, tetapi dalam UMNO, presiden kami sentiasa meraikan kepelbagaian pandangan. Pendekatan sebegitu tidak membuatkannya Presiden yang lemah seperti yang cuba digambarkan oleh LGE, sebaliknya mampu memperkuat UMNO.
“Lebih baik Guan Eng fokus mengurus hal parti sendiri dalam persiapan PRN dan UMNO akan tentukan formula terbaik untuk parti kami supaya mampu mendapat keyakinan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO seterusnya menempelak dan bertanyakan pendirian parti tersebut mengenai tindakan Pakatan Harapan (PH) mengadakan majlis meraikan empat ADUN lompat yang menyebabkan PRN ini berlaku.
Tegasnya tindakan UMNO jelas, apabila pengkhianatan telah berlaku dan mereka menjatuhkan Kerajaan dan memaksa PRN, keahlian mereka gugur serta merta namun tindakan PH pula seolah-olah menganggap mereka wira.
“Lebih baik Guan Eng mengurus hipokrasi ini daripada cuba mengadu domba UMNO sedangkan kami membuat keputusan bermusyawarah. Tak cukup menolak hanya satu Adun yang lompat, DAP patut jelas menolak, bukannya membiar parti lain dalam PH meraikan mereka yang menjatuhkan kerajaan negeri Melaka. Soal apa sahaja bentuk kerjasama UMNO dengan mana-mana pihak sewaktu PRN Melaka, akan diputuskan oleh MKT dengan semangat musyawarah,” ujarnya.- UMNO Online