KUALA LUMPUR, 22 Jan – Ahli parti khususnya di Johor perlu memainkan peranan yang sebaiknya bagi mengembalikan era keutuhan UMNO di negeri itu, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Jelas beliau, strategi terbaik perlu dilakukan bagi memastikan segala agenda yang dilakukan pembangkang khususnya Pakatan Harapan (PH) dapat ditangkis bagi memastikan mereka tidak lagi memberi janji manis yang dilakukan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
“Saya nyatakan kepada ahli parti bahawa kita semua ada tanggungjawab dan peranan untuk kembalikan Johor sebagai tiang seri UMNO.
“Kita akan pastikan, segala retorik janji dan tipu daya PH serta mereka yang pernah menjadi sebahagian dari PH yang menipu pengundi, tidak akan berulang lagi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, sebagai parti berpengalaman UMNO/Barisan Nasional (BN) berdepan dengan pelbagai asam garam dalam dunia politik meskipun telah berjaya membina negara ini selama 6 dekad.
“Sebagai parti yang berpengalaman dan teruji, BN mempunyai track record dalam menguruskan Malaysia yang majmuk hingga mampu memacu kestabilan dan kemakmuran negara.
“Atas sebab itu amat penting untuk BN kembali mendapat mandat penuh daripada rakyat. Walau apa jua keadaannya, UMNO Pasir Gudang sudah bersedia untuk menangkan Dewan Undangan Negeri Johor Jaya dan Permas,” tegas beliau. – UMNO Online