Saya mengikut laporan FMT bertarikh 28 Januari 2022 yang memetik ulasan oleh Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam klip sepanjang kira-kira 6 minitd i laman Facebook beliau.
2. Dalam ulasan berkenaan dengan PRN Johor tersebut, beliau menyatakan beberapa perkara antaranya:
a. PRN Johor adalah agenda pemimpin ‘Kluster Mahkamah’ dari UMNO serta mereka yang tidak berjawatan yang menyusahkan rakyat,
b. PAS sebagai parti yang mempunyai kekuatan 1 juta ahli dan mempunyai 197 kawasan tidak akan berdiam diri dan mempunyai strategi balas sekiranya UMNO terus menerus melakukan PRN, dan
c. PAS mendukung PN, khususnya dalam mengajak BERSATU menyertai Muafakat Nasional (MN) kerana ia adalah agenda untuk masyarakat majmuk, bukan hanya untuk menyatukan Melayu sahaja, tidak seperti BN yang sudah tidak relevan.
3. Saya menghormati pandangan Tan Sri, namun saya percaya terdapat beberapa kekhilafan dan percanggahan yang sangat besar dalam pandangan tersebut.
4. Pertama, PRN Johor tidak ada kena mengena dengan Kluster Mahkamah. Saya setuju, isu mereka harus diserahkan kepada Mahkamah. Itulah pendirian saya, UMNO dan BN selama ini.
5. Cuma, hakikatnya, Kerajaan Negeri Johor sebelum ini berdiri dengan hanya 1 majoriti. Berhentilah berpura-pura. Terimalah hakikat bahawa kedudukan sebegitu adalah satu kedudukan yang sangat lemah dan tidak menentu.
6. Jadi, jalan terbaik untuk mendapatkan kembali sebuah kerajaan yang kukuh, dengan mandat yang sah, adalah melalui PRN. Kita tidak boleh terus menerus mempunyai kerajaan yang terbentuk hanya dengan percaturan ahli politik yang sekali gus menafikan pilihan rakyat.
7. Walaupun Tan Sri dan PAS mungkin gemar dengan pendekatan sedemikian, ia tidak matang dan tidak menyantuni prinsip demokrasi yang jujur.
8. Kedua, saya akui kehebatan PAS. PAS adalah parti yang besar dan sangat hebat. Semoga kekuatan dan kehebatan tersebut terbukti dalam PRN Johor nanti.
9. Saya beri jaminan pada Tan Sri, UMNO-BN tidak akan cuba menumpang kehebatan dan kekuatan PAS dengan 1 juta ahli itu. Cuma, janganlah pula Tan Sri memarahi kami jika kami tidak mahu bekerjasama dan menunggang kehebatan dan kekuatan PAS. Yang pasti, kami doakan yang terbaik untuk PAS sebagai parti besar, hebat dan kuat dalam PRN Johor nanti.
10. Ketiga, saya sehingga kini belum memahami bagaimana Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional adalah agenda kemajmukan dan Barisan Nasional yang mempunyai parti pelbagai kaum pula tidak bersifat majmuk dan sudah tidak relevan.
11. Apa-apa pun, dalam keseriusan Tan Sri untuk menyatukan semua pihak di bawah kemajmukan PN dan Muafakat Nasional, saya harap jangan lupa untuk turut menjemput PAN dan DAP bersama. Barulah benar-benar majmuk.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO