JOHOR BAHRU, 5 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menempelak parti lawan Barisan Nasional (BN) yang menggunakan taktik kotor ketika berkempen di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Katanya, taktik tersebut termasuk penggunaan beberapa perkataan yang tidak sopan malah dianggap seakan cubaan untuk membibitkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
“Tidak wajar menggunakan perkataan mengaibkan seperti ‘kemaluan’ dan ‘bogel’ untuk PRN Johor bagaimanapun kita faham itu antara kemahiran lawan BN dalam memanipulasi persepsi pengundi.
“Menggunakan perkataan menghina, mengejek seperti itu untuk menyemai kebencian dalam fikiran rakyat namun jangan sesekali merendah-rendah kebijaksanaan rakyat masa kini khususnya Bangsa Johor,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Jelas Pengerusi BN itu lagi, pengundi ketika ini sudah bijak menilai dengan helah pihak yang tidak bertanggungjawab dalam memainkan sentimen yang tidak berasas.
“Rakyat hari ini sudah celik dan tidak lagi mudah diperdaya dengan permainan persepsi seperti itu. Perkataan ‘kemaluan’ dan ‘bogel’ tidak perlu dihidangkan kepada pengundi-pengundi muda kita.
“Bukan itu yang mahu kita dedahkan kepada mereka tentang politik yang matang dan sejahtera bukan itu yang kita mahu bentuk sebagai pegangan pengundi-pengundi 18 tahun kita,” ujar beliau. – UMNO Online