SENGGARANG, 9 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan apa yang disebut Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Wan Saiful Wan Jan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ada pilihan sendiri iaitu dengan melantik Datuk Dr Puad Zarkashi sebagai Menteri Besar Johor.
Tegasnya, perkara itu disuarakan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekiranya BN menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
“Sejak dari awal lagi Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan calon Menteri Besar Johor ialah Datuk Seri Utama Hasni Mohammad dan tidak ada sebarang pertikaian tentang perkara lantikan tersebut.
“Ini merupakan fitnah dan tohmahan yang dibuat oleh PPBM yang parti itu sebenarnya ketandusan isu serta muflis isu.
“Jangan percaya cakap mereka (PPBM) dan beliau (Wan Saiful) juga antara yang membuat manifesto menipu rakyat. Jadi tak payahlah dengar cakap dia,” katanya ketika ditemui UMNO Online di bilik gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sungai Ayam, Senggarang, malam tadi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata kempen PRN ini hanya tinggal tiga hari lagi dan ramai pemimpin-pemimpin pembangkang sedar kesilapannya dan kembali pada UMNO.
“UMNO dengan hati terbuka menerima pihak yang ingin kembali pada UMNO. Sekiranya mereka ikhlas kembali pada UMNO dan tidak meminta sebarang habuan atau jawatan daripada UMNO. Jika mereka ingin memegang sebarang jawatan harus melalui proses-prosesnya.
“Saya harap ahli-ahli UMNO setempat dan berkaitan boleh menerima mereka juga, yang lepas itu, lupakan… dan bina buku baharu untuk pemimpin- pemimpin yang telah meninggalkan dan kembali pada UMNO,” katanya lagi.
Dalam pada itu kata Ahmad lagi merasa yakin bahawa BN/UMNO akan memenangi pada PRN ini dan mengharapkan jentera-jentera BN terus berkerja keras.
“UMNO ada keyakinan menang dalam PRN Johor walau bagaimana pun jangan terlalu yakin dan ‘over confident’ sehingga lalai. Tempoh berjuang dan berhadapan dengan PRN ini ialah sehingga selesai undi dikira bukan selesai jam enam petang pada 12 Mac nanti. Undi selesai dikira dan ada keputusan baharu selesai tugas jentera kempen.
“Saya harap berjuang berhabis-habisan dan ini merupakan titik tolak perjuangan yang amat penting pada UMNO negeri Johor dan selepas itu kepada UMNO Malaysia dan BN. Apa yang telah berlaku di Melaka semangat itu dikekalkan dan rakan karib UMNO/BN di Sarawak… semangat itu dikekalkan dan bawa semangat Melaka dan Sarawak ke negeri Johor… Insya-Allah,” ujarnya. – UMNO Online