KUALA LUMPUR, 21 Mac – Sebahagian besar daripada 27 diplomat asing yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO pada 18 Mac lalu setuju betapa perlunya pilihanraya umum diadakan seberapa segera di Malaysia.
Pada majlis jamuan makan tengah hari bersama Presiden, Timbalan Presiden dan pemimpin lain parti, mereka juga sekata dengan saranan agar sebuah kerajaan mutlak pilihan rakyat mesti ditegakkan.
Seorang Pesuruhjaya Tinggi berkata, Malaysia perlu mengembalikan keyakinan antarabangsa, terutamanya pelabur asing.
“Ramai pelabur mengambil sikap tunggu dan lihat bagi membuat pelaburan baharu atau memperbesarkan operasi yang ada.
“Kerajaan mutlak menjamin kestabilan dan proses demokrasi di mana sahaja negara. Malaysia mampu mengembalikannya.”
Seorang duta pula berpendapat, pertukaran kepada rejim baharu pada PRU14 telah memperosokkab negara ini ke dalam pelbagai masalah.
“Dunia telah melihat bagaimana Malaysia membangun sebelum itu manakala aliran masuk FDI adalah antara tertinggi di rantau ini.
“Terserah kepada parti-parti yang ada, bagaimana untuk mengembalikannya semula,” katanya.
Di samping itu, mereka berharap agar sebuah pentadbiran yang progresif seperti Barisan Nasional dapat ditegakkan kembali di Malaysia.
“Sayang jika sebuah negara yang begitu gah suatu masa dahulu terbantut perkembangannya oleh politik yang tidak stabil.
“Rakyat Malaysia sepatutnya sudah sedar, seperti yang ditunjukkan di Melaka dan Johor”.