Semalam YB Senator Ir. Ts. Khairil Nizam, Ketua Penerangan PAS menyatakan bahawa PAS menjamin agenda penyatuan ummah akan diteruskan walaupun Presiden UMNO ‘menolak’ agenda ini.
Pertama, ini kenyataan tidak benar.
Kedua, ini bukan ayat dan nada pihak yang mahu melihat penyatuan. Bagaimana mahu menyatukan dengan parti lain kalau terang-terang memburukkan pimpinannya?
Ketiga, ia mengajak orang UMNO dan PAS yang tertanya-tanya kenapa MN menjadi dingin untuk menyalahkan Presiden UMNO. Sekaligus mengalih perhatian kepada punca sebenar kerenggangan – iaitu pendirian PAS berhubung pihak ketiga, dan tindakan-tindakan rentetan pendirian itu.
Perlu diingat, usaha penyatuan ummah ini tidak bermula hanya selepas UMNO kalah PRU14 tetapi sudah pun bermula semenjak awal lagi misalnya dengan solidariti dalam isu pelarian Rohingnya sebelum PRU14.
Presiden UMNO meneruskan kerjasama ini dengan perbincangan lebih terperinci untuk menyatukan kedua-dua parti melalui penyatuan ummah yang melahirkan kerjasama politik melalui ‘Muafakat Nasional’.
Tetapi MN hanya subur sehingga tertubuhnya Perikatan Nasional di mana UMNO tidak setuju untuk menyertainya tetapi PAS tanpa ‘notis’ kepada UMNO, muncul sebagai parti komponen PN. Kisah ini sudah didedahkan berulang kali dan akan terus diulangi selagi UMNO dipersalahkan. Kerana insiden inilah yang menjadi titik tolak kepada kerenggangan.
Tapi Presiden UMNO berjiwa besar. Malah beliau tetap membuka pintu rundingan dalam dalam PRN-PRN yang lepas. Melalui Jawatankuasa Induk MN dahulu kita telah bersetuju untuk parti masing-masing menggunakan lambang masing-masing dan jentera masing-masing akan saling membantu dalam pilihanraya. Tetapi, di PRN Melaka permintaan mudah oleh UMNO untuk PAS menggunakan lambang sendiri dan bukan lambang PN, pun tidak dapat dipenuhi oleh PAS. Isyarat jelas dari PAS: PN lebih utama.
Di PRN Johor, Setiausaha Agung UMNO telah mendedahkan bahawa PAS tidak memohon untuk bekerjasama bersama UMNO walau pun Tuan Ibrahim Tuan Man telah mengeluarkan kenyataan bahawa PAS akan berbincang bersama UMNO untuk membentuk kerjasama.
Sebaliknya, siapa lupa, apa yang dilemparkan terhadap Presiden UMNO adalah Itik Patah Kaki, Ahli Sihir. UMNO pula diminta untuk direhatkan dan juga dihukum pengundi oleh Presiden PAS.
Tetapi, setelah semua diatas, setelah semua komen dan serangan lain yang dilemparkan, UMNO masih berjiwa besar di beberapa negeri dan masih mahukan kerjasama Muafakat Nasional. Tetapi dengan setiap kenyataan seperti kenyataan semalam, dalam keadaan di mana PAS masih gemar menyalahkan dan merendahkan kami, bukankah PAS yang menjauhkan agenda penyatuan dari menjadi realiti?
Saya minta sahabat saya Ir. Khairil untuk mengusulkan kepada pemimpin PAS agar jawatankuasa induk MN sepenuhnya bermesyuarat semula jika mereka betul-betul ingin meneruskan agenda penyatuan ummah melalui Muafakat Nasional dan berhenti menyerang pemimpin-pemimpin UMNO di media sosial. Kami tak mencari sengketa. Tapi jika sengketa yang datang, kami akan terpanggil respon.
#SambungYangTergendala
SHAHRIL HAMDAN
Ketua Penerangan UMNO
***************************