Nak Masuk MN Tapi Tubuh PN

Datuk Wan Saiful Wan Jan, Ketua Penerangan PPBM mempersoal status penyertaan PPBM ke dalam MN selepas dijemput dua tahun yang lalu. Saya beri jawapan terus status dan punca Bersatu tidak diterima masuk.

Pertama, Bersatu ditubuhkan untuk menggantikan UMNO. Ini jelas apabila hampir separuh dari Ahli Parlimen PPBM serta hampir keseleruhan pimpinan mereka di Sabah pasca PRU14 adalah bekas wakil rakyat UMNO yang dianggap sebagai pengkhianat parti oleh akar umbi UMNO. Ini adalah asas jelas mengapa UMNO tolak Bersatu.

Kedua, PPBM tidak jujur dalam bekerjasama. Ini terbukti semasa PRN Sabah apabila Bersatu meletakkan calon di 17 DUN untuk melawan Calon BN. Tambahan lagi, mereka pecahkan undi dengan meletakkan calon bebas yang menyokong kerajaan YAB Datuk Seri Hajiji selepas tamatnya PRN Sabah.

Ini selepas UMNO melepaskan kerusi tradisi seperti Sulaman, Kawang, Membakut dan lain-lain yang merupakan kerusi UMNO tetapi dilepaskan kepada Bersatu. UMNO juga tidak meletakkan calon atau calon bebas.

Ketiga, Bersatu mendaftarkan Perikatan Nasional tanpa sebarang perbincangan bersama UMNO. Sekali lagi, PPBM yang ditubuhkan untuk mengganti UMNO menubuhkan PN pula dengan tujuan yang sama, untuk mengganti Barisan Nasional.

Bersatu tahu jika menyertai MN, tidak boleh mendominasi keputusan tanpa persetujuan anggota yang lain. Sebab itu mereka tubuhkan PN dan memikat PAS sekali. Malah pada suatu ketika parti komponen BN juga dipelawa tanpa sebarang perbincangan bersama UMNO. Bila dah bertindak begini, macam mana nak terima masuk MN?
Keputusan PAU2021 adalah jelas. Tidak akan ada sebarang kerjasama dengan PPBM pada PRU15.

#SambungYangTergendala

SHAHRIL HAMDAN
Ketua Penerangan UMNO Malaysia