KUALA LUMPUR, 28 Jun – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini mengingatkan ahli parti bahawa pencapaian yang diperoleh termasuk kemenangan beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah kekuatan tersendiri dimiliki UMNO termasuk keutuhan dalam kalangan kepimpinan parti.
Jelas beliau, berkat nilai perjuangan yang tidak mengenal erti putus asa ini mengembalikan kekuatan UMNO selepas melalui cabaran pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
“Dalam perjuangan yang penting adalah hasilnya. Apakah hasil perjuangan diketuai Presiden, dibantu Timbalan Presiden UMNO dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang ada setakat hari ini?:
1) Menang tujuh PRK
2) Menang daripada cuma satu Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada 14+2 ADUN di Sabah
3) Mengambil alih negeri Perak
4) Menang 21/28 (75%) PRN & menawan negeri Melaka
5) Rakan karib BN di Sarawak menang 76/82 (93%), terbesar setakat ini
6) Menang 40/56 (71%) PRN dan menawan negeri Johor
7) Yang terbesar, 15 Ahli Parlimen mendesak akhirnya Naib Presiden UMNO jadi Perdana Menteri Malaysia
8) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disahkan dalam mesyuarat MKT jadi calon Perdana Menteri untuk PRU15
“Semoga pasukan yang ada ini berjaya membawa UMNO/Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi semula Malaysia untuk manfaat rakyat dengan menang dua pertiga majoriti insya-Allah,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Sementara itu menerusi hantaran berlainan, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian itu juga turut berkongsi mengenai laporan media sebelum ini berkenaan kenyataan Pengerusi Parti Pejuang Tahahair (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk membubarkan parti.
“Nota sejarah penting dalam perjuangan Presiden UMNO. Apa terjadi kepada beliau jika setuju kepada cadangan Tun M itu? Apa terjadi kepada beliau bila tidak bersetuju dengan cadangan Tun M itu?” soal beliau. – UMNO Online