KOTA KINABALU, 2 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, konvensyen Negeri Sabah yang berlangsung hari ini adalah semangat bukti kesinambungan tekad para pemimpinnya yang tetap tidak goyah pendiriannya walaupun dilambung gelombang badai politik amat mencabar.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada BN Sabah di bawah pimpinan Datuk Seri Bung Moktar Radin kerana sentiasa setia.
“Saudara-saudari semua adalah pejuang Barisan Nasional yang sentiasa setia dan sentiasa memastikan obor perjuangan terus menyala dan menjadi penyuluh demi kemakmuran negeri dan rakyat Sabah.
“Sesungguhnya komitmen serta daya juang yang diperlihatkan oleh Barisan Nasional Sabah menjadi penguat semangat dan iltizam keluarga besar Barisan Nasional seluruh negara untuk mengembalikan parti yang telah banyak berjasa ini kembali menerajui tampuk pemerintahan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Konvensyen BN Sabah yang berlangsung hari ini di sini melibatkan jentera parti dari seluruh negeri.
Ujar Ahmad Zahid, politik Sabah amat unik sifatnya dengan orang-orang Sabah juga cukup unik komposisinya.
“Dengan lebih 30 etnik, 50 bahasa dan tidak kurang 90 dialek, kerencaman ini sebenarnya membentuk suatu kekuatan. Sejak bersama-sama membentuk Malaysia pada tahun 1963, kemajmukan kaum dan etnik negeri Sabah, yang dibentuk melalui kerjasama politik menjadi asas perpaduan yang kukuh.”
Tegasnya, rekod menunjukkan tempoh Sabah menjadi paling maju dalam semua aspek sosio-ekonomi adalah sewaktu Sabah di bawah pemerintahan Sabah Alliance selama 12 tahun, dan BN selama 24 tahun.
“Ini adalah hasil daripada kedinamikan politik Sabah. Dan kedinamikan ini perlu difahami dengan baik, kerana di dalam kedinamikan itu, lahir Sabah yang maju kerana wujudnya kestabilan.
“Malah tidak salah untuk saya menyebutkan sebagai contoh, sepanjang tempoh 15 tahun Sabah di bawah pentadbiran Barisan Nasional yang diterajui oleh Tan Sri Musa Aman selaku Ketua Menteri, politik Sabah sungguh stabil dan di bawah kepimpinan beliau, Sabah berjaya dibangunkan dengan pesat.
“Politik ketika itu amat stabil, pembangunan negeri lebih merata, kemudahan-kemudahan infrastruktur, jalan, air, bekalan elektrik luar bandar dinikmati di seluruh pelusuk termasuk di pedalaman. Pendidikan anak negeri diperkasa. Antara buktinya adalah Universiti Malaysia Sabah telah ditubuhkan.”
Justeru, beliau percaya, orang-orang Sabah amat rindukan kepada kestabilan.
“Saya juga percaya semua kita tahu bahawa kestabilan hanya boleh dicapai melalui Kerajaan yang kuat dan kukuh.”
Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin. – UMNO Online