KUALA LUMPUR, 29 Julai – Kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkait larangan Ahli Parlimen bertukar parti harus disambut baik, ujar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, kelulusan yang diperoleh Dewan Rakyat itu diharap menjadi titik permulaan terhadap usaha untuk pembasmian pengkhianatan mandat rakyat.
“UMNO merupakan mangsa terbesar gejala ‘katak’ apabila sejumlah wakil rakyatnya ‘meloncat-loncat’ ke parti lain sesudah Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Sebahagiannya mengejar jawatan, sebahagian lagi takut ugutan penzalim, namun secara umum politik mereka sama sekali bukan atas perjuangan,” tegasnya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya.
Seharusnya tambah Ahmad Zahid lagi, semua masih ingat ketika itu lawan UMNO yang memenangi PRU-14 kelihatan sangat senang ‘menghalalkan: gejala lompat parti.
“Alasan mereka penyertaan Ahli Parlimen UMNO kepada gabungan mereka akan memberi kemudahan buat kerajaan mereka menggubal dasar.
“Langit tidak selalu cerah. “What you give you get back”. Selepas turut berdepan perihal lompat parti barulah mereka juga mendesak untuk akta anti lompat parti,” katanya.
Sebab itu ulasnya, sidang Dewan Rakyat akhirnya memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen untuk RUU berkait larangan Ahli Parlimen bertukar parti.
“Akta Anti Lompat Parti akan turut memanfaatkan negara dalam mengurangkan peluang penzalim bermaharajalela menggunakan kuasa.
“Menggunakan kuasa untuk menggugut atau membeli Ahli Parlimen sama ada untuk memperkuatkan parti mereka atau melemahkan parti lawan seperti yang pernah UMNO alami,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu. – UMNO ONLINE