TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui menyedari rancangan sulit dipanggil ‘Langkah Dubai’ untuk menggugat kedudukan kerajaan, namun menyifatkan usaha itu hanya membuang masa.
Bercakap pada sidang media, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO itu menjelaskan, sebarang langkah menukar kerajaan menerusi akuan bersumpah (SD) bukan satu cara yang baik.
“Laporan dari segi perisikan memang kami peroleh seawal penerbangan mereka sampai ke tempat itu (di Dubai). Laporan selepas itu kami peroleh juga, tapi pada hemat kami, langkah itu hanya membuang masa.
“Tidak ada langkah yang mendasarkan keputusan itu hanya kepada akuan bersumpah dan saya fikir langkah yang mereka lakukan bukan satu langkah baik kerana mereka sudah lakukan ‘tebuk atap’ ini beberapa kali,” katanya di Putrajaya, hari ini.
Ditanya siapa individu yang terbabit dalam gerakan itu berdasarkan laporan perisikan yang diperoleh, Ahmad Zahid bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mereka.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menasihatkan individu terbabit menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang jika mahu membentuk kerajaan baru.
Beliau juga berkata, pemimpin yang terbabit khususnya dari UMNO perlu menyedari mereka terikat dengan undang-undang bertukar parti serta keputusan dasar parti.
“Kita harus husnuzon dalam perkara yang begini, bahawa apa pun langkah yang dilakukan, mereka harus melihat terdapat akta anti lompat parti yang mereka sedia faham. Ia memerlukan keputusan besar kepada parti dan ia membabitkan keputusan secara ‘en bloc’.
“Apa yang penting, apabila rakyat sudah beri mandat kepada parti dan dokongan kepada ahli-ahli Parlimen dipilih dan kini kita dapati Kerajaan Perpaduan ada sokongan dua pertiga, ertinya rakyat harus diberikan keadilan supaya politik dimantapkan,” katanya.
Keutamaan kerajaan ketika ini kata beliau, adalah untuk membangunkan negara terutama dari segi membangun ekonomi dan beri kesejahteraan kepada rakyat.
“Bukan soal-soal politik. Tunggulah sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kalau mereka mahu tukar kerajaan. Kerajaan yang ada akan beri tumpuan untuk perkukuhkan ekonomi, membantu rakyat dan mewujudkan kestabilan dibawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Desas-desus muncul sebelum ini mengenai ‘Langkah Dubai’ yang didakwa digerakkan oleh pemimpin parti pembangkang, termasuk wakil tertentu kerajaan, dengan matlamat sama untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.
Cubaan didakwa itu didedahkan Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop.
Selain pemimpin pembangkang, ‘Langkah Dubai’ didakwa turut disertai tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang, termasuk dituduh menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Anwar.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) telah menafikan bahawa wujudnya rancangan seumpama itu.