Analisa: Bolehkah akar umbi terima semula KJ?

UMNO mungkin berminat membawa semula Khairy Jamaluddin ke dalam parti, namun seorang penganalisis politik memberi amaran tindakan itu berisiko mewujudkan tentangan daripada ahli di peringkat akar umbi.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, Umno sedang berusaha membina semula sokongan awam selepas prestasi hambar dalam PRU15 pada 2022.

Katanya, mengembalikan pemimpin dipecat seperti bekas ketua Pemuda itu penting bagi menjayakan usaha terbabit.

“Umno benar-benar perlu menambah bilangan kerusi (dalam PRU akan datang) untuk mendapatkan kuasa tawar-menawar politik lebih kuat pada pusingan seterusnya.

“Ramai berpendapat beliau terlalu jelas memperlihatkan cita-cita; ramai juga percaya beliau secara diam menentang (presiden Umno) Zahid Hamidi dan (bekas perdana menteri) Najib Razak.”

Pada kempen PRU15, Khairy menyatakan hasrat menjadi perdana menteri suatu hari nanti, namun mengakui ia mungkin menyebabkan kepimpinan Umno ‘meminggirkannya’.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia pula berkata, meskipun Umno mungkin bersedia menerima semula Khairy dan pemimpin lain dipecat, tidak mungkin mereka akan diberikan jawatan penting dalam parti.

Selagi Umno masih berada dalam kerajaan, parti itu tidak akan sanggup meletakkan apa-apa taruhan besar,” katanya.

“Kedudukan Umno tidak terlalu genting selagi Anwar Ibrahim dan Zahid berada di puncak kepimpinan PKR dan Umno. Kita semua tahu Zahid menyimpan dendam terhadap Khairy, jadi kenapa beliau harus menawarkan jawatan kepada Khairy?”

Khairy, Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal terpaksa memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan pada PRU15.

Beliau sebaliknya bertanding di kerusi bandar kubu kuat Pakatan Harapan, Sungai Buloh, menyaksikannya kalah kepada R Ramanan daripada PKR dalam pertandingan tujuh penjuru.

Bekas menteri kesihatan itu dipecat Umno pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15.

Minggu lalu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menawarkan diri menjadi ‘jambatan’ untuk memudahkan kemasukan semula Khairy serta pemimpin Umno yang digantung seperti Hishammuddin Hussein dan Shahril Hamdan ke dalam parti.

Khairy mengucapkan terima kasih atas tawaran itu dan berkata beliau akan mempertimbangkannya.

Fauzi menyifatkan reaksi Khairy sebagai kenyataan politik biasa dan meragui bekas ketua Pemuda Umno itu akan menerima tawaran terbabit.

“Semua ahli politik ada ego. Mengharapkan Khairy tunduk kepada ahli politik junior, yang juga penggantinya (jauh) sebagai ketua Pemuda Umno, adalah agak luar biasa,” katanya.

Beliau menambah menerima tawaran Akmal boleh melemahkan pengaruh Khairy dengan ketara.

“Ia tidak akan meletakkan Khairy dalam kedudukan yang kuat, dan itu tidak baik untuk cita-cita kepimpinan beliau dalam Umno.”

Namun, Chin percaya Khairy mungkin mempertimbangkan tawaran itu untuk memastikan dirinya kekal relevan dalam parti.

“Ini mungkin masa sesuai untuk beliau kembali, kerana saya pasti beliau ingin bertanding dalam pilihan raya parlimen akan datang.”

Katanya, penting untuk Khairy kembali sebagai Ahli Parlimen bagi mencapai matlamatnya menjadi perdana menteri suatu hari nanti.

“Dalam sistem politik Malaysia, jika anda bukan Ahli Parlimen atau YB (wakil rakyat), anda tiada nilai.”

Namun, Chin berkata kemasukan semula Khairy dalam Umno mungkin memerlukan beliau menyatakan taat setia kepada Zahid, yang pernah dikritiknya secara terbuka sebelum ini.