SEMUA 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan pada Isnin sebulat suara menarik sokongan serta menyatakan hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, sekali gus mencetuskan krisis politik di negeri itu.
Perkara berkenaan diumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga ADUN BN, Datuk Seri Jalaluddin Alias, dalam satu sidang media khas yang disiarkan secara langsung pada Isnin.
Menurut Jalaluddin, keputusan itu dibuat susulan krisis membabitkan institusi adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan, yang tegasnya perlu dihormati dan dipertahankan tanpa campur tangan politik.
“Kami mengumumkan bahawa kesemua 14 ADUN UMNO BN Negeri Sembilan telah sebulat suara hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya,” katanya.
Beliau menegaskan UMNO BN kekal memberikan sokongan penuh kepada institusi adat serta Undang‑Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, selain menegaskan keperluan sebuah kerajaan negeri yang stabil, berfungsi dan menghormati perlembagaan.
Jalaluddin berkata pemakluman rasmi berhubung keputusan tersebut akan dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri dan Setiausaha Dewan Undangan Negeri sebaik sidang media berkenaan selesai.
Menurutnya, ADUN UMNO BN mezahirkan kekecewaan kerana wakil UMNO BN dalam barisan Exco negeri tidak pernah dimaklumkan atau dilibatkan dalam sebarang perbincangan di peringkat Kerajaan Negeri berhubung krisis berkenaan.
Sebaliknya, katanya, mereka hanya mengetahui mengenai isu itu selepas keadaan menjadi kritikal sehingga mencetuskan perdebatan terbuka dalam kalangan masyarakat.
Jalaluddin turut menegaskan bahawa Menteri Besar sepatutnya memainkan peranan dengan kebijaksanaan dan kepekaan sebagai ketua kerajaan negeri, memandangkan krisis tersebut berpotensi menjejaskan pentadbiran negeri, kestabilan kerajaan serta keharmonian rakyat.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan yang dipimpin Datuk Seri Aminuddin Harun memperoleh majoriti di Dewan Undangan Negeri.
Daripada 36 kerusi DUN, Pakatan Harapan (PH) menguasai 17 kerusi melibatkan DAP (11), PKR (5) dan Amanah (1), manakala UMNO BN menyumbang 14 kerusi. Blok pembangkang pula memperoleh lima kerusi, terdiri daripada PAS (3) dan Bersatu (2).
