PRESIDEN Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru semua ahli agar melupakan sengketa lama dan sikap berpuak-puak jika mahu melihat parti itu bangkit semula pdaa masa depan.
Bercakap pada konvensyen uang tahun ke-80 parti itu di World Trade Centre, hari ini, beliau berkata perjalanan lapan dekad parti itu bukan sahaja diwarnai pencapaian malah krisis dalaman yang berulang-ulang.
Katanya, Umno sudah menghadapi kitaran sedemikian setiap dekad – daripada pertikaian kepemimpinan sehinggalah kepada perpecahan dalaman yang meruntuhkan keyakinan rakyat – namun ia tetap berulang.
“Setiap kali parti diuji sedemikian, ia akan menampakkan kekuatan sebenarnya apabila harapan dan momentum baharu muncul,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri itu turut menggariskan lima fokus utama parti dalam tempoh dua dekad akan datang menjelang ulang tahun ke-100 parti itu.
Lima fokus berkenaan adalah memperkasa dakwah bagi memelihara akidah; menjadi tunjang kestabilan politik negara; melahirkan tenaga pakar dan intelektual; menyatukan pemikiran kepimpinan Melayu; serta menyuburkan budaya ilmu.
Matlamat akhir perjuangan, katanya, adalah untuk melahirkan bangsa Melayu yang bijaksana, mampu mengurus negara, menguasai ekonomi serta menjadi tunjang kepada sebuah negara majmuk yang harmoni.
“Saya berharap untuk melihat lahirnya generasi Melayu yang tidak luntur nilai keIslaman, mempunyai jati diri yang kuat, berakhlak mulia serta mampu menjadi pencipta idea dan pemangkin kemajuan negara.
“Generasi Melayu yang kita dambakan ialah yang berakar pada iman, berakal dalam tindakan, berdaya dalam ciptaan, berjiwa besar dalam perjuangan dan bersatu dalam kepimpinan,” katanya.
Tambah beliau, Umno perlu memandang ke hadapan dengan asas yang kukuh, bukan sekadar memenangi pilihan raya, sebaliknya membina kekuatan jangka panjang berlandaskan pengajaran sejarah dan persiapan rapi untuk generasi akan datang.
Zahid menegaskan, perjuangan Umno tidak hanya diukur melalui kekuatan institusi tetapi juga melalui kualiti insan yang dilahirkan bagi membina agama, bangsa dan negara.
Justeru katanya, penekanan perlu diberikan kepada pembinaan generasi Melayu berkualiti, berteraskan agama, ilmu dan kepimpinan.
