Badan Peguam diizin cabar DNAA Zahid

MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya semalam membenarkan rayuan Badan Peguam untuk memulakan semakan kehakiman mencabar keputusan Peguam Negara menghentikan perbicaraan kes Yayasan Akal Budi membabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Faizah Jamaludin membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran itu bukan sesuatu yang remeh dan tidak berasas.

Faizah yang membacakan keputusan panel, berkata permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman yang difailkan badan itu turut menimbulkan isu-isu yang boleh dibicarakan.

“Cabaran Badan Peguam (terhadap) kedudukan Peguam Negara dalam menghentikan pendakwaan terhadap responden kedua (Ahmad Zahid) bukanlah sesuatu yang remeh dan ia membangkitkan isu-isu yang boleh dipertikaikan.

“Ini adalah suatu kes yang wajar, jarang berlaku dan luar biasa dan ia mewajarkan satu pendengaran semakan kehakiman penuh berdasarkan merit,” katanya.

Panel sehubungan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak memberikan kebenaran kepada Badan Peguam dan memerintahkan kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi pendengaran substantif semakan kehakiman.

Yang turut bersidang, hakim Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin .

Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, membuat keputusan berkenaan selepas pendakwaan memaklumkan bahawa Peguam Negara ingin memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.

Faizah berkata, permohonan Badan Peguam itu melepasi syarat minimum bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman terhadap budi bicara Peguam Negara.

Beliau berkata, badan itu mencabar keabsahan dan rasional proses (Peguam Negara) membuat keputusan dan ia menepati serta sesuai untuk dianggap sebagai kes yang jarang dan luar biasa.

“Pertama, ia membabitkan keseriusan pertuduhan dan kepentingan awam dalam kes pendakwaan rasuah, begitu juga (terdapat) dapatan prima facie oleh Mahkamah Tinggi selepas membuat penilaian maksimum dalam kes berkenaan.

“Kedua ia sudah berada di peringkat membela diri, di mana tahap prosiding yang telah berlangsung termasuk 99 saksi pendakwaan telah dipanggil sepanjang 53 hari perbicaraan dan 15 saksi pembelaan, selain masa dan bilangan representasi yang telah dikemukakan.

“Kuasa Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan adalah luas, namun bukan tidak boleh disemak oleh mahkamah dalam keadaan luar biasa.

“Status perlembagaan Peguam Negara tidak meletakkan beliau di luar penelitian kehakiman,” katanya.

Mahkamah Tinggi pada 24 Januari 2022 memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie bagi kesemua 47 pertuduhan sebelum Zahid diarahkan membela diri.

Sementara itu, Faizah berkata mahkamah juga menolak hujahan bahawa Badan Peguam secara tidak langsung mencabar perintah DNAA yang diputuskan mahkamah jenayah, sebaliknya menurut hakim itu, badan berkenaan mencabar keputusan awal Peguam Negara untuk menghentikan pendakwaan dan memohon DNAA.

“Oleh kerana perintah DNAA oleh mahkamah jenayah itu adalah kesan prosedural daripada keputusan Peguam Negara, perayu (Badan Peguam) tidak mencabar perintah mahkamah jenayah yang memberikan DNAA tersebut.

“Apa yang dicabar ialah punca tindakan kepada perintah itu, iaitu keputusan Peguam Negara untuk menghentikan pendakwaan berhubung pertuduhan terhadap Ahmad Zahid dan memohon DNAA.

“Oleh itu, kami mendapati permohonan semakan kehakiman oleh perayu bukanlah satu serangan sampingan terhadap perintah mahkamah jenayah yang memberikan DNAA bagi kesemua 47 pertuduhan terhadap Ahmad Zahid,” katanya.

Pada 27 Jun 2024, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar tindakan Peguam Negara memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.

Hakim Datuk Amarjeet Singh (sekarang Hakim mahkamah rayuan) juga menolak permohonan Badan Peguam untuk merujuk tiga persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan berkaitan perkara yang sama.

Hakim itu memutuskan bahawa Badan Peguam tidak memenuhi keperluan syarat minimum di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman (CJA).

Tambahan pula, katanya, perkara itu tidak boleh diterima menerusi semakan kehakiman di mana Peguam Negara tidak mempunyai kewajipan untuk memberikan dokumen (mengenai siasatan Ahmad Zahid) kepada Badan Peguam.

Dalam permohonan itu, Badan Peguam menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid sebagai responden.

Ia memohon perintah certiorari supaya keputusan AG memohon DNAA terhadap Ahmad Zahid membabitkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi, pada 4 September 2023, dibatalkan.

Ia juga mahukan perisytiharan bahawa keputusan Collin Lawrence (yang kini hakim Mahkamah Persekutuan) adalah batal dan tidak sah serta dibuat melebihi bidang kuasa yang diberikan kepada Peguam Negara.

Ahmad Zahid diberikan DNAA bagi kesemua 47 pertuduhan, selepas pihak pendakwaan memaklumkan Jabatan Peguam Negara mahu menghentikan prosiding terhadapnya untuk meneliti bukti baharu.

Pada prosiding hari ini, peguam Datuk S Ambiga dan Steven Thiru mewakili Badan Peguam, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly bertindak bagi pihak Peguam Negara manakala peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Ahmad Zahid.