PRESIDEN parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO yang ditubuhkan pada 1946 kini genap lapan dekad perjuangan yang tidak pernah terhenti dalam mempertahankan kedaulatan tanah air dan memperjuangkan nasib bangsa.
Menurut beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Timbalan Perdana Menteri, UMNO lahir daripada semangat kesatuan dan keberanian ketika menentang Malayan Union, sebelum terus berkembang menjadi sebuah gerakan yang memainkan peranan penting dalam mencorakkan perjalanan negara.
“Bermula pada tahun 1946, sebagai sebuah gerakan menentang Malayan Union dan mempertahankan kedaulatan tanah air, UMNO lahir daripada semangat kesatuan dan keberanian bangsa,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, daripada langkah pertama itu, UMNO melalui perjalanan panjang yang menyaksikan pelbagai pengorbanan, cabaran dan kejayaan sepanjang tempoh 80 tahun.
“Dari langkah pertama itu, terbina perjalanan panjang yang mencorakkan perjalanan negara dari kemerdekaan hingga pembangunan melalui pengorbanan, kepimpinan dan usaha tanpa henti.”
Beliau berkata, tempoh lapan dekad itu bukan sekadar angka, sebaliknya membawa bersama sejarah dan pengalaman yang membentuk jati diri perjuangan parti berkenaan.
“80 tahun bukan sekadar angka, tetapi himpunan sejarah, kejayaan dan cabaran yang membentuk jati diri sebuah perjuangan.
“Inilah kisah tentang ketahanan, tentang jatuh dan bangkit, dan tentang sebuah legasi yang terus hidup dalam perjalanan masa depan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di laman Facebooknya dalam keluaran khas sempena menjelang ulang tahun UMNO ke-80 pada 11 Mei ini. – UMNO Online
