Ikhtiar BN Johor Boleh Dilaksana, Bukan Sekadar Janji Memenangi Hati Rakyat – Mohamad

JOHOR BAHRU, 1 Mac – Lima teras utama yang ditawarkan Barisan Nasional (BN) menerusi Ikhtiar BN Johor merupakan sesuatu yang boleh dilaksanakan dan bukan sekadar janji untuk memenangi hati rakyat, kata Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan.

Manifesto itu katanya, merupakan usaha yang diikhtiar oleh BN untuk membangunkan kesejahteraan dan ekonomi penduduk Johor.

“Ia boleh dilakukan (ikhtiar)… bukan janji cuma nak memenangi hati rakyat, memujuk dan akhirnya kita tak dapat buat, jadi ini semua usaha kita untuk ikhtiar membangunkan semula Johor yang sudah jauh ketinggalan.

“Johor pernah menjadi peneraju utama dan pertumbuhan ekonomi negara tetapi malangnya selepas 2018, Johor terkial-kial disebabkan oleh ketidaktentuan politik dan ketidakstabilannya,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Ikhtiar BN Johor di bangunan Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, hari ini.

Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya Negeri Johor berharap Ikhtiar BN Johor yang dilancarkan hari ini akan disampaikan kepada rakyat Johor sekali gus membantu kerajaan negeri yang baharu nanti untuk terus bekerja dan menstabilkan keadaan politik seterusnya mensejahterakan rakyat.

Ditanya mengenai kempen pilihan raya yang memasuki hari keempat, Mohamad berkata beliau amat berpuas hati dengan gerak kerja tersusun dan berfokus oleh jentera BN.

Bagaimanapun, beliau mahu jentera parti meneruskan kerja keras mereka sehingga hari pengundian pada 12 Mac ini bagi memastikan pengundi setia BN mengundi.

“Hari keempat selepas penamaan calon, saya sendiri telah turun di banyak kawasan dan saya amat berpuas hati… tidak ada isu yang membimbangkan atau boleh mengganggu-gugat perjalanan kempen kita buat masa ini,” katanya.

Terdahulu, BN melancarkan manifestonya untuk PRN dikenali ‘Ikhtiar BN Johor’ untuk pilihan raya negeri yang menampilkan lima teras utama merangkumi kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, ikhtiar khusus untuk orang muda, membudayakan pentadbiran berintegriti dan melaksanakan reformasi politik.

Pengerusi BN Johor Datuk Hasni Mohammad dalam ucapannya berkata kelima-lima ikhtiar itu adalah untuk mencapai dan menyokong matlamat utama BN negeri dalam menjadikan Johor sebuah negeri makmur, didukung naratif politik baharu yang matang serta stabil.