Jujurkah Tidak Mahu PRU15 Sekarang Kerana Bimbang Banjir?

F

KUALA LUMPUR, 23 Sept – Persoalan sebetulnya apakah benar lawan Barisan Nasional (BN) tidak mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan kerana bimbangkan banjir?

Demikian lontar Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa mereka untuk jujur bagi mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Jujurkah mereka dengan alasan tersebut atau ia sekadar satu lagi muslihat untuk mengelak daripada perlu berdepan dengan penentuan rakyat. Saksikan sejak kerajaan gagal 22 bulan tumbang pada Februari 2020, pesaing BN teramat takut mandat akan diserahkan semula kepada rakyat.

“Sudah lebih dua tahun mereka berikhtiar untuk menyekat rakyat dibenarkan menunaikan hak demokrasi mereka bagi memilih sebuah kerajaan baharu.

“Lawan BN tahu majoriti rakyat sudah mengerti tentang agenda politik mereka yang songsang, merosakkan dan tidak selari dengan nilai negara Malaysia. Maka lawan BN masih membantah PRU-15 membuktikan mereka masih lemah dan takut. Mungkin belum menemui hasutan pembohongan baharu yang mampu memperdaya fikiran rakyat.”

Justeru, katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya berkata, alasan lawan BN PRU-15 tidak boleh diadakan pada tahun ini kerana banjir haruslah dibaca bersama helah mereka untuk terus ‘membeli masa’.

“Seperti saya nyatakan jika benar lawan BN jujur tidak mahu PRU-15 kerana bimbang kemungkinan banjir penghujung tahun, maka kita adakan PRU-15 sekarang. Kita adakan PRU-15 sebelum musim hujan seperti diramalkan walaupun kita amat yakin terhadap kemampuan SPR menjayakan demokrasi dalam apa jua situasi.

“Kesemua Pejabat Pilihan Raya Negeri dilaporkan sudah pun membuat persediaan sejak Ogos lalu untuk melaksanakan PRU-15 pada bila-bila masa.

“Ketua Pemuda BN, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki juga telah menjelaskan PRU-15 boleh diadakan dalam tempoh empat minggu sejurus Parlimen dibubarkan. Tidak perlu lama tempoh berkempen kerana lawan BN telah dan sedang pun berkempen ketika ini termasuk mengadakan jelajah hasutan pembohongan ke seluruh negara,” katanya.

Hakikatnya, tegas beliau, kemungkinan banjir yang tidak diketahui skalanya lebih menuntut PRU-15 diadakan sekarang agar kebajikan rakyat dapat diuruskan oleh sebuah kerajaan yang lebih stabil dan kukuh.

“Kita tidak mahu insiden percanggahan dalam urusan membantu mangsa banjir berulang lagi, akibat daripada sebahagian pimpinan kerajaan parti lawan yang merancang agenda politik semata-mata.

“Kita juga tidak mahu kemelut ‘tutup pintu depan, buka pintu belakang’ terus berlaku dalam pentadbiran kerajaan kerana yang menjadi mangsa adalah rakyat dan negara.”

Tegas Ahmad Zahid, kerajaan yang mantap, tidak ada sabotaj sesama sendiri kriteria penting menguruskan kesejahteraan hidup rakyat dan mendepani ramalan kemelesetan ekonomi dunia.

“Maka kita adakan PRU-15 sekarang dan selesaikan proses demokrasi itu sekarang. Benarkan rakyat Malaysia Memilih demi sebuah kestabilan, kemakmuran dan kesejahteraan.

“Supaya kerajaan dapat kembali berfungsi tanpa ‘politicking’ dalaman yang menyulitkan dan saling tuduh menuduh angkara kerakusan lawan BN untuk berkuasa,” katanya lagi. – UMNO Online