UMNO setuju peruntukan kerusi PBT Selangor

PELANTIKAN ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor dijangka selesai minggu depan selepas Umno akhirnya bersetuju dengan peruntukan kerusi yang diberikan kepada mereka.

Pejabat Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Ng Suee Lim ketika dihubungi berkata mesyuarat telah diadakan sebelum ini, dengan Umno telah bersetuju dengan peruntukan 20 kerusi itu.

“Pertemuan itu membuahkan hasil kerana kami sudah mendapat keputusannya.

“Menteri Besar Amirudin Shari telah pun menandatangani watikah pelantikan bagi pihak Pakatan Harapan (PH) jadi majlis angkat sumpah akan berlangsung sama ada minggu ini atau minggu depan,” kata pegawai Ng.

Terdahulu, sumber dalaman kerajaan negeri berkata keengganan Umno menerima tawaran Amirudin telah merumitkan pelantikan 272 ahli majlis baru.

Kerajaan negeri masih belum melengkapkan pelantikan ahli majlis melibatkan 12 PBT bagi sesi 2024-2025.