Unesco: Nga ajak pemimpin Umno berbincang

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno bagi memperjelaskan cadangannya berkaitan pencalonan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Ia susulan kenyataan beberapa pemimpin Umno sebelum ini termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan, selain Setiusaha Agung Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Seri Ahmad Maslan yang dilaporkan menolak keras cadangan itu serta menyifatkan ia sebagai menyentuh kedudukan Melayu-Bumiputera.

“Sebenarnya saya ada berhubung dengan pemimpin Umno. Kita ajak mereka untuk bermusyawarah supaya kita dapat bincang dan ketahui hakikat fakta sebenar supaya mereka tak terpesong dengan fakta atau isu sentimen yang dimainkan oleh pembangkang Perikatan Nasional,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Arca Setia Kawan dan Sambutan Tahun Baru Cina di Pusat Komuniti Warisan Kampung Koh di Manjung, semalam.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan Kor Ming mencadang untuk mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.

Susulan itu, kata Naib Pengerusi DAP berkenaan, Kerajaan Pusat dan Selangor akan membincangkan perkara itu dengan lebih teliti membabitkan kampung yang diteroka sejak 1948 itu.

Kelmarin, Asyraf Wajdi dipetik berkata, cadangan itu dilihat terlalu besar dan menyentuh kedudukan Melayu-Bumiputera secara tidak langsung, meskipun bertujuan untuk memperkasakan sektor pelancongan negara.

“Apabila sesebuah kawasan itu diiktiraf sebagai tapak warisan dunia, maka secara automatik penduduk yang menghuni kawasan terbabit akan dianggap sebagai orang asal dan segala aspek berkaitan pendidikan, budaya dan bahasa akan turut diperakukan.

“Ini sudah tentulah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya Bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilaporkan.

Semalam, Ahmad Maslan dipetik berkata kenyataan demi kenyataan berbaur perkauman yang dicetuskan pemimpin DAP amat berbahaya bukan sahaja kepada sensitiviti rakyat negara ini malah keharmonian masyarakat.

Ahmad turut mempersoalkan sama ada kenyataan kontroversi yang dikeluarkan beberapa pimpinan DAP itu sengaja dibuat bagi melihat dan mengukur reaksi Bumiputera atau menguji tahap kesabaran golongan itu.