Malaysia-Argentina bincang hubungan dua hala

MENTERI Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan semalam menerima kunjungan dan mengadakan perbincangan dua hala bersama Menteri Luar Negeri Republik Argentina, Diana Elena Mondino dan delegasi dari negara terbabit di Wisma Putra.

Dalam pertemuan tersebut, perbincangan bukan hanya dilaksana berkait soal hubungan dua hala antara Malaysia dan Argentina.

“Selain membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Argentina, saya dan Diana Elena Mondino bertukar pendapat tentang perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk hubungan Malaysia dengan ‘Southern Common Market’ (MERCOSUR), kerjasama ASEAN-Argentina serta Konflik Palestin-Israel,” kata Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO dalam hantaran menerusi laman Facebooknya, semalam.

Dilaporkan, Mordino berada di Malaysia untuk lawatan rasmi sulungnya dan turut melakukan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ujar Mohamad, kerajaan baharu Argentina selepas Pilihan Raya Umum (PRU) bulan November 2023 yang lalu, di bawah pimpinan Presiden Javier Girardo Milei mengadakan dasar ekonomi terbuka dan mengalukan-alukan peningkatan dagangan dua hala Malaysia-Argentina.

“Peluang yang amat cerah bagi Petronas memandangkan Argentina mempunyai deposit yang besar.

“Republik Argentina merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia di rantau Amerika Latin dengan jumlah dagangan pada tahun 2023 bernilai RM8.23 bilion (USD1.81 bilion).” – UMNO Online