Rahmatan Lil Alamin: Antara Kefahaman dan Kekeliruan

Anjakan penghijrahan ke era Malaysia Baharu pada Mei 2018 telah menjanjikan perubahan-perubahan yang kononnya mampu meringankan kerisauan yang membebani hati dan perasaan gundah-gelana rakyat.

Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1440H/2018M dan idealog terkemuka tanah air mengungkapkan “Malaysia Baharu tersirat makna segunung harapan terangkatnya martabat insan, tegaknya keadilan, berdaulatnya kebenaran, meratanya kemakmuran dan terjamin keselamatan. Segala harapan tersebut hanya akan dapat direalisasikan dengan menegakkan moral bangsa berasaskan nilai-nilai agama dan budaya”.

Gagasan Rahmatan Lil Alamin, Maqasid Syariah serta Model Malaysia menjadi nilai agama dan budaya yang bakal menjadi antara dasar kerajaan baharu dalam membentuk masa depan Malaysia mencapai sasaran negara rahmat dan membentuk masyarakat yang harmonis.

Namun menjadi kegelisahan kepada rakyat melihat kepada realiti politik semasa dan isu-isu berbangkit yang menjadi ancaman kepada umat Islam dan Institusi Islam seperti ICERD, Statut Rom dan UEC-PPSMI. Malah lebih malang lagi apabila umat Islam terpaksa berhimpun bagi menuntut agar hak mereka tidak dicabuli dan bagi mempertahankan kedaulatan Islam. Satu senario yang tidak sepatutnya berlaku di negara yang majoritinya Islam.

Kegelisahan ini bukan sahaja disuarakan oleh rakyat marhean, malah melibatkan para intelektual dan agamawan sepertimana yang disuarakan oleh Mufti Perlis. Beliau menyifatkan realiti politik pada masa ini yang membiarkan umat Islam dibuli telah menyebabkan rakyat akur bahawa agama Islam berada dalam keadaan tidak begitu selamat di bawah pentadbiran kerajaan hari ini.

Apakah gagasan Rahmatan Lil Alamin mampu menjadi platform umat Islam mempertahankan hak mereka dan institusinya serta memperkasakan Islam sebagai Agama Negara? Adakah gagasan Rahmatan Lil Alamin sekadar slogan dan dasar helaian putih yang membuaikan rakyat dengan omongan fantasi yang bertentangan dengan realiti semasa?

Bagi merungkai kekeliruan gagasan Rahmatan Lil Alamin saya cuba mengekpresikan sedikit usaha meneliti ayat-ayat suci al-Quran dan kitab-kitab tafsir muktabar bagi memahami maksud sebenar kalimah Rahmatan Lil Alamin secara tuntas berdasarkan definisi, metodologi dan tafsiran para ulama muktabar terhadap firman Allah SWT yang bermaksud :

“Kami tidak mengutuskan engkau (Wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam”

(al-Anbiya 107)

Setelah menelusuri maksud sebenar ayat ini disuaikan dengan metodologi Ahlul Sunnah Wal Jamaah dapat disimpulkan bahawa Rahmatan Lil Alamin membawa maksud seperti berikut:

Rahmatan Lil Alamin BUKAN Hak Asasi Manusia dan Kebebasan. Keghairahan menuntut hak kesamarataan atas nama hak asasi manusia malah meraikan golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) lebih dari sepatutnya menimbulkan perasaan kurang selesa kepada umat Islam. Golongan Liberalisme dan Pluralisme semakin berani menyebarkan ideologi mereka yang bertentangan dengan Perlembagaan negara. Malah tuntutan dan kenyataan NGO Sister in Islam dan G25 seringkali mengguriskan perasaan umat Islam. Semua ini dilakukan di atas nama hak asasi manusia dan kebebasan.

Rahmatan Lil Alamin BUKAN toleransi tanpa batasan. Orang Melayu cukup terkenal dengan sikap toleransi yang tinggi, tetapi jangan sampai wang zakat umat Islam hendak diagih-agihkan kepada non-Muslim. Hak dan keistimewaan Bumiputera dikesampingkan. Peruntukan kepada masjid dan surau diagihkan sama rata dengan rumah ibadat agama lain.

Institusi umat Islam dirobek-robekkan. Institusi Raja diperkecilkan malah tanpa segan silu mengeluarkan kenyataan berbentuk penghinaan kepada institusi tersebut. Jangan kerana Rahmatan Lil Alamin toleransi bertukar kepada mimpi ngeri.

Jelas hak asasi manusia, kebebasan dan toleransi tanpa batasan bertentangan dengan maksud sebenar Rahmatan Lil Alamin. Jangan kerana sudah berada di takhta kekuasaan menteri bertanggungjawab hanya pandai menjaga dan mengambil hati golongan manoriti dan mengabaikan hak dan keperluan umat Islam.

Suara-suara mempertahankan Islam semakin sukar kedengaran daripada kalangan pejuang dan pemimpin Islam dalam kerajaan. Kita mengharapkan kepimpinan negara ‘tidak pekak’ untuk mendengar keluhan dan rintihan rakyat. Tegakkan keadilan bukan kesamarataan, cari solusi bukan berdolak- dalik, jangan sampai Islam dibuli dibawah slogan Rahmatan Lil Alamin.

Rahmatan Lil Alamin adalah satu cara hidup dan seni berpolitik berlembut dan bertegas yang berprinsip dan berperaturan. Terkandung padanya aspek nasihat, tanggungjawab, pencegahan, peringatan, tindakan undang-undang bahkan terkadang terpaksa berjihad mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

Tidak keterlaluan jika saya katakan UMNO dan Barisan Nasional telah membumikan makna Rahmatan Lil Alamin dalam kepimpinannya, melalui dua dimensi iaitu pendekatan berlembut dan bertegas. Sikap berlembut, bertolak ansur dan memberikan ruang serta peluang oleh kepimpinan tertinggi parti kepada pimpinan di peringkat negeri, bahagian dan cawangan serta sayap tidak bermaksud mereka boleh melakukan sesuatu tindakan sesuka hati tanpa makluman dan restu kepimpinan pusat.

Ketegasan kepimpinan membuat sesuatu keputusan bukan bermakna tiada ruang untuk berunding dan bertolak ansur. Sebenarnya, dimensi berlembut dan bertegas inilah yang menjadi satu keunikan kepada kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional sejak sekian lama.

Bagi menzahirkan ketegasan dan solidariti kita mempertahankan kedaulatan Islam, marilah kita bersama-sama hadir ke Perhimpunan Rakyat pada 4hb Mei 2019 dengan niat dan tekad ‘Pertahankan Maruah Agama, ISLAM Didaulatkan’.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#demiummah
#akhiratdidepan


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.