SEJARAH PERJUANGAN UMNO

UMNO hari ini dikenali sebagai parti yang terbesar dan menjadi teras pemerintahan negara dengan jumlah kerusi yang terbanyak dan pemimpin-pemimpinnya berperanan dalam membuat dasar-dasar.

Ia adalah antara antara parti bercorak demokratik yang tertua di negara-negara membangun dan masih kuat kedudukannya setelah melalui berbagai peristiwa dan cabaran. Ia dihormati oleh kawan dan lawan di atas prinsip-prinsip keadilannya, ketegasannya dan keupayaannya menjalankan dasar-dasar yang telah dipersetujui.

Lahirnya UMNO adalah hasil dari percantuman pertubuhan-pertubuhan Melayu dengan berbagai aliran falsafah dan pendapat tetapi bersetuju mengambil tindakan bersama untuk survival bangsa Melayu. Berhadapan dengan rancangan Malayan Union yang dibawa oleh British selepas Perang Dunia yang Kedua, pertubuhan-pertubuhan ini dengan sukarelanya membubar diri masing-masing demi membuka jalan kepada sebuah parti politik yang ulung sebagai pernyataan hasrat semua golongan dan lapisan masyarakat Melayu bagi memperjuangkan hak-hak mereka.

Di bawah rancangan British, dasar pro-Melayu sebelum Perang akan dirombak sekaligus, dan orang-orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini terpaksa bersaing dengan orang-orang mendatang, iaitu suatu kejadian yang tidak diduga sama sekali oleh mereka kerana sepanjang penjajahan British mereka diberi perlindungan dari ancaman golongan-golongan tadi di samping jaminan bahawa ini adalah negeri Melayu yang diperintah bagi pihak Raja-raja Melayu. Bermakna kepada merekalah negeri ini nanti diserahkan apabila penjajah berundur.

Rancangan Malayan Union yang dipaksakan ke atas mereka tanpa sebarang rundingan adalah amat menggemparkan. Jika sebelum ini orang-orang Melayu berpecah-pecah dengan berbagai sentimen kenegerian dan pemandangan yang sempit, sekarang mereka yang mula melihat realiti di depan mereka, telah bangkit menentang rancangan itu. Kebangkitan itu merupakan reaksi yang spontan dengan orang-orang Melayu bersatu hati dan tenaga agar kedudukan mereka terpelihara. Penubuhan UMNO pada 11 Mei 1946, dengan Datuk Onn Bin Jaafar sebagai pemimpinnya yang pertama dapat dikatakan sebagai mengelak orang-orang Melayu di Tanah Melayu dari tenggelam di bawah satu perkembangan politik dan ekonomi yang begitu deras dan menguntungkan golongan-golongan lain yang lebih maju.

Nasionalisme Melayu sebelumnya agak malap kerana wujudnya penduduk berbilang kaum sebagai faktor penghalang, penekanan oleh penjajah, secara terang atau halus, tendensi masyarakat Melayu untuk berpecah-belah mengikut negeri, latar belakang sosial atau pendidikan yang berlainan, ketiadaan kesedaran politik yang meluas serta terdapat kemakmuran ekonomi yang membolehkan kehidupan sederhana kepada sebilangan besar rakyat. Lagi pula, orang-orang Melayu sungguhpun sedar akan ancaman dari golongan-golongan mendatang, mereka dianggap dalam perjalanan sementara dan tidak difikir akan turut mewarisi negara ini pada suatu masa kelak.

Semangat kebangsaan Melayu yang baru meletus secara meluas itu perlu untuk menjaga keutuhan masyarakat yang sejak beberapa lama merupakan penduduk ‘indigenous’ (asal) kepada kawasan ini dan telah mempunyai sistem pemerintahannya sendiri walaupun berlainan dengan ciri-ciri pemerintahan moden. Seluruh penentuan hidup di negara ini sekarang ada hubungan langsung atau tidak langsung dengan nasionalisme Melayu. Kalau orang-orang Melayu menjadi teras negara dan UMNO teras politik, adalah suatu keadaan yang tidak dapat dielak memandang kepada sejarah dan hak asal orang-orang Melayu.

Tetapi nasionalisme ini bukan suatu yang sempit kerana telah diperluaskan untuk merangkumi lain-lain kaum demi perpaduan dan kestabilan negara. Di peringkat awal pergerakan ke arah kemerdekaan adalah disedari tidak mungkin bagi sesuatu kaum memaksakan politiknya dan menolak kenyataan hadirnya kaum-kaum lain yang juga berhak untuk menyertai dalam politik negara. Usaha-usaha yang dibuat bagi mengeratkan kerjasama antara kaum-kaum sehingga tertubuhnya Perikatan UMNO – MCA pada awal 1952 bila kedua-dua parti ini bertanding dalam pilihan raya Perbandaran Kuala Lumpur. Hasil dari kerjasama itu, kemenangan telah diperolehi oleh kedua-duanya dan ini membawa kepada kerjasama yang lebih jauh menjelang kemerdekaan.

Pada tahun 1955 bagi menghadapi pilihan raya umum yang pertama, Perikatan UMNO – MCA – MIC telah diwujudkan sebagai lambang permuafakatan dan kerjasama yang rapat antara kaum-kaum. Dengan pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra, kemenangannya yang cemerlang telah diperolehi. Maka jelaslah kepada pihak penjajah bahawa kaum-kaum di Tanah Melayu adalah bersatu hati dan boleh merdeka.

Sebelum tercapainya kemerdekaan pada tahun 1957, beberapa perkara pokok telah diperbincangkan antara pemimpin-pemimpin kaum dalam UMNO, MCA dan MIC yang mentakrifkan kedudukan dan hak setiap kaum dalam perlembagaan negara. Keutamaan yang diberi kepada orang-orang Melayu dalam beberapa hal adalah juga memperakui hak-hak bangsa lain yang telah menetap dan lahir di sini. Kaum-kaum bukan Melayu dibolehkan bergerak dengan lebih luas kerana taraf kewarganegaraan yang diberi kepada mereka. Manakala orang-orang Melayu diberi hak-hak istimewa untuk membolehkan penyertaan ekonomi dan pelajaran secara lebih berkesan. Bahasa Melayu diterima sebagai bahasa kebangsaan dan asas kepada dasar pelajaran kebangsaan dan Islam dijadikan agama rasmi negara.

Dengan persetujuan atas perkara-perkara ini maka dapatlah semua bersatupadu bagi mencapai kemerdekaan dan seterusnya berusaha membina negara. Permuafakatan ini berjalan terus sehingga menjelang pilihan raya tahun 1969 apabila asas-asas yang telah dipersetujui itu digugat oleh kalangan-kalangan tertentu membawa kepada pergaduhan kaum. Selepas tarikh ini, kerjasama antara kaum dipereratkan semula dengan hak-hak setiap kaum itu tidak boleh dipersoalkan lagi di bawah perlembagaan negara yag baru dipinda. Langkah-langkah lain juga diambil bagi menyatukan rakyat dari semua kaum dalam satu pemerintahan bersama.

Dari konsep Perikatan yang mengandungi tiga buah parti mewakili tiga kaum berlainan membawa kepada konsep Barisan Nasional yang lahir pada tahun 1974, berkembang sehingga kini mempunyai tiga belas buah parti mewakili berbagai golongan dan kaum dalam Malaysia. Parti-parti ini bersetuju untuk memupuk dan mengekalkan keharmonian serta bersatu-padu; berusaha untuk mencapai pembangunan jasmani dan rohani dan mengekalkan Islam sebagai agama persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana jua di dalam Persekutuan dan untuk menegak dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara; berusaha untuk mewujudkan suatu masyarakat adil dan saksama; berusaha untuk mengeratkan lagi perhubungan di kalangan ahli Barisan Nasional.

TUJUAN DAN MATLAMAT

Sejak tertubuhnya UMNO sampai ke masa sekarang, tujuan dan matlamatnya masih sama walaupun terdapat pindaan-pindaan kecil dalam perlembagaannya bagi membetulkan ayat atau menerangkan makna secara lebih jelas. Tujuan-tujuan ini terkandung dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, adalah seperti berikut:-

UMNO adalah sebuah parti yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

  1. Mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan negara.
  2. Mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja Berperlembagaan.
  3. Menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara serta menghormati prinsip kebebasan beragama.
  4. Mempertahankan kedaulatan rakyat dan keadilan sosial dengan mengamalkan Sistem Pemerintahan Demokrasi Berparlimen serta memajukan ekonomi rakyat Melayu dan Bumiputera khasnya dan rakyat Malaysia amnya.
  5. Menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan Kebudayaan Melayu.
  6. Mewujudkan kerjasama antara kaum bagi melahirkan satu bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu berasaskan kepada hak-hak Asasi Manusia dan Hak-hak Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera.

Berdasarkan tujuan-tujuan ini, ahli-ahli UMNO dapat bersatu dalam pertubuhan ini walau apapun kecenderungan peribadi atau perbezaan-perbezaan pendapat antara mereka. Bersatu dalam erti menerima tujuan-tujuan ini sebagai landasan untuk perjuangan bersama. Pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO tidak lari dari tujuan ini kerana ianya telah dicetuskan oleh akar umbi parti dan merupakan pegangan orang-orang Melayu.

STRUKTUR DAN ORGANISASI

Sesuai dengan sifatnya yang demokratik, kuasa parti terletak pada ahli-ahli akar umbi yang menyatakan pendapat atau menyampaikan kehendak mereka melalui Persidangan Cawangan (bagi Cawangan), Mesyuarat Perwakilan (bagi Bahagian) dan Perhimpunan Agung (bagi peringkat pusat).

Kuasa yang tertinggi ialah pada Perhimpunan Agung yang diadakan setiap tahun dengan mengandungi wakil-wakil dari Bahagian-bahagian yang dipilih dalam Mesyuarat Perwakilan. Perhimpunan Agung membincangkan dasar-dasar parti dalam semua bidang kemajuan yang telah dicapai dan langkah-langkah lain yang boleh diambil bagi memperbaiki dasar dan cara perjalanan parti. Bagi melaksanakan program-program parti, tiap-tiap tiga tahun sekali ia memilih satu teras pimpinan, yang dipilih oleh akar umbi. Pada pimpinan ini yang dipanggil Majlis Tertinggi, terletak kejayaan dan kemajuan parti seluruhnya.

Majlis Tertinggi adalah berkuasa membentuk dasar-dasar politik, ekonomi, pelajaran, kebudayaan dan kebajikan masyarakat untuk dibentangkan dalam Perhimpunan Agung dan mendapat kelulusan ahli-ahli perwakilan sebelum dijalankan sebagai dasar parti. Selaku badan yang tertinggi, Majlis ini adalah bertanggungjawab mengawasi kerajaan supaya melaksanakan dasar-dasar parti.

Ia juga mengawal, mengelola dan memutuskan sebarang perkara mengenai pemilihan calon-calon parti bagi memasuki pilihan raya – pilihan raya dan ahli menentukan orang-orang yang akan mewakili parti dalam sebarang kumpulan atau majlis mesyuarat dan sebagainya.

Kini, UMNO memasuki era transformasi dalam sistem pemilihan pucuk kepimpinan apabila memansuhkan sistem kuota bagi pencalonan sesebuah jawatan tertinggi parti serta pemilihannya hanya di peringkat Pusat, dan digantikan dengan sistem yang lebih terbuka dan meluas di mana ahli akar umbi diberi kuasa memilih baik di peringkat Bahagian mahupun di peringkat tertinggi parti.

Di peringkat negeri terdapat satu Badan Perhubungan yang tugasnya terhad kepada ertikata ‘perhubungan’ iaitu menjadi badan perantaraan antara Bahagian-bahagian dengan Pusat. Tidak dibentukan Jawatankuasa Negeri dengan mempunyai kuasa yang penuh, kerana difikirkan pentadbiran parti peringkat Negeri perlu terkawal. Badan-badan perhubungan yang dibentuk sekarang mesti mendapat pengiktirafan terlebih dahulu oleh Majlis Tertinggi, Ketua dan Timbalan Ketuanya dilantik oleh Presiden parti setelah berunding dengan ahli-ahli Majlis Tertinggi.

Selainnya, Badan Perhubungan mempunyai tugas penting dalam mengatur dan menyesuaikan perjalanan Bahagian-bahagian dan Cawangan-cawangan dalam sesebuah negeri. Ini memerlukan pengawasan setiap masa ke atas Bahagian-bahagian dan Cawangan-cawangan supaya bergerak seiring dan patuh kepada kehendak-kehendak parti. Dengan demikian Badan Perhubungan walaupun bercorak ‘perhubungan’ sahaja, mempunyai tugas-tugas penting dalam setiap negeri.

Di bawah Badan Perhubungan terdapat Bahagian-bahagian yang ditubuhkan di tiap-tiap kawasan pilihan raya. Sekarang ini terdapat 191 Bahagian UMNO di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah. Perjalanan Bahagian terletak di bawah Mesyuarat Perwakilan Bahagian yang diadakan setiap tahun. Antara tugas-tugas perwakilan Bahagian ini ialah membincangkan dasar-dasar parti untuk dikemukakan dalam Perhimpunan Agung, mengkaji kerja-kerja yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Bahagian dan mencadangkan apa-apa rancangan yang patut dibuat pada masa akan datang. Jawatankuasa Bahagian dipilih setiap tiga tahun sekali. Di waktu ketiadaan Mesyuarat Perwakilan, Jawatankuasa Bahagian adalah bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas mentadbir parti di peringkat tersebut.

Cawangan adalah unit yang paling kecil dalam parti. Ia merupakan suara akar umbi yang memberi kekuatan kepada parti. Hari ini terdapat lebih daripada 21,000 Cawangan UMNO di seluruh Semenanjung Malaysia dan Sabah, kira-kira hampir 3.6 juta ahli. Jawatankuasa Cawangan dipilih setiap tiga tahun sekali untuk menguruskan hal-hal parti dan dan berhubung dengan rakyat. Jawatankuasa ini dikehendaki menjalankan perintah-perintah dan peringkat-peringkat yang lebih tinggi, melatih ahli-ahli supaya setia kepada parti dan dasar perjuangannya, menyemai perasaan persaudaraan dan menggalakkan bantuan sesama sendiri di kalangan ahli-ahli.

MEET OUR LEGISLATIVE

Our Elected
Representatives

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetur adipisicing elit, sed do eiusmod tempor incididunt ut labore et dolore magna aliqua. Ut enim ad minim veniam, quis nostrud exercitation ullamco laboris nisi ut aliquip