Institusi Raja dan Rakyat Saling Melengkapi

Raja dan rakyat berpisah tiada, bagai aur dengan tebing saling lengkap melengkapi. 30 Julai 2019 menjadi detik bersejarah kepada negara sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Institusi Yang di Pertuan Agong (YDPA) dan Majlis Raja-Raja Melayu bukan sekadar simbol, sebaliknya menjadi pengimbang kepada kuasa eksekutif iaitu kerajaan yang memerintah. Institusi yang menjadi medium utama bagi menyatupadukan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini termasuk di Sabah dan Sarawak.

Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan menjadi faktor peralihan kuasa pasca PRU ke-14 berlaku dalam keadaan harmonis tanpa provokasi. Institusi YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu telah bertindak menjadi pengaman bagi mengelak berlakunya pergolakan politik tanah air yang akan menimbulkan kegelisahan dan kegusaran dalam kalangan rakyat.

Kebijaksanaan dan kearifan serta pengalaman menjadikan Institusi YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai institusi yang disegani. Berhemah apabila menyampaikan titah nasihat kepada parti politik, kerajaan dan rakyat, tanpa mencampuri urusan pentadbiran seharian selaras dengan konsep Raja bertakhta tetapi tidak memerintah. Institusi Raja Berperlembagaan adalah kesinambungan kepada kedaulatan, kestabilan dan perpaduan terus subur, walaupun berlaku peralihan kerajaan.

Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara dan panji agama Islam di Malaysia, termasuklah kedudukan YDPA sebagai ketua agama bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan. Manakala Raja-Raja menjadi ketua agama Islam di negeri masing-masing dan merupakan benteng terakhir umat Islam dalam mempertahankan agama Islam.

Hakikatnya, kedaulatan Raja-raja adalah bersumberkan ajaran Islam kerana adat Melayu selepas Raja-Raja Melayu menganut ajaran Islam dikekalkan sejauh mana adat tidak bercanggah dengan ajaran Islam. Oleh sebab itu sumpah YDPA mendokong lima prinsip penting iaitu:

  • Menzahirkan akidah Yang di-Pertuan Agong adalah Islam
  • Kewajipan baginda untuk melaksanakan pemerintahan yang adil menurut Perlembagaan dan undang-undang
  • Melindungi setiap masa ajaran Islam
  • Menegakkan kedaulatan undang-undang
  • Menegakkan keamanan dalam negara

Secara tradisinya, berteraskan budaya, rakyat Malaysia sentiasa menjunjung dan menghormati institusi Raja. Tetapi apa yang merisaukan akhir-akhir ini trend atau aliran menghina institusi Raja, Islam agama Persekutuan dan Nabi Muhammad SAW semakin menjadi-jadi dan berleluasa khususnya menerusi media sosial.

Episod penghinaan kepada institusi raja seringkali dilakukan dengan menerbitkan perkataan menghina Yang di Pertuan Agong (YDPA) dan Raja-Raja Melayu. Malah ada gesaan supaya institusi Raja berperlembagaan dihapuskan dan diganti dengan sistem negara republik.

Meskipun negara mempunyai undang-undang yang berkaitan termasuklah Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA), malah ia juga boleh melibatkan Akta Hasutan 1948 yang mengalami pindaan terakhir pada 2015.

Persoalannya, adakah undang-undang hari ini masih longgar dan tidak mampu memberi cegah rintang (deterrent) terhadap kes-kes sebegini?

Saya menggesa kerajaan menilai semula komitmen mereka untuk memansuhkan Akta Hasutan demi kestabilan negara selain itu kebebasan bersuara bukannya bersifat mutlak. Tiada sebab untuk Akta Hasutan dimansuhkan kerana beberapa negara lain turut memiliki peruntukan undang-undang yang serupa iaitu untuk menjaga keharmonian dan keselamatan kaum. Kerajaan perlu mengimbangi di antara kemahuan dan tuntutan rakan komponen dengan menjaga kepentingan berkaitan institusi Raja Melayu, umat Islam dan masyarakat Melayu sebagai teras kepada pembinaan negara ini sejak sekian lama (berdasarkan kontrak sosial yang sedia terbina).

Kerajaan perlu menunjukkan ketegasan berhadapan dengan isu penghinaan kepada agama Islam dan Rasulullah SAW. Walaupun ada sesetengah pihak beranggapan isu penghinaan kepada Islam dan Rasulullah SAW sebagai kes terpencil dan melabelkan pembangkang menggunakan isu ini sebagai sentimen untuk kepentingan politik.

Pada Mac lalu sahaja polis menerima 929 laporan berhubung kes penghinaan terhadap agama Islam, Nabi Muhammad SAW serta isteri baginda, Saidatina Aisyah, di seluruh negara dan 16 kertas siasatan sudah dibuka. Terkini Polis menerima sebanyak 11 laporan berhubung hantaran seorang individu yang menggunakan nama Wendy Loong di dalam media sosial Facebook ‘Kiub Batu Itu Berhala’ yang menghina Nabi Muhamad SAW.

Maka janganlah disalahkan jika rakyat melabelkan ‘Islam terancam’ di bawah kerajaan hari ini, sekiranya alim ulama dalam Pakatan sendiri yang diam dan reda dengan tindakan mencabar dan menghina Institusi Raja dan Islam. Buya Hamka pernah berpesan, “Jika diam saat agamamu dihina, gantilah bajumu dengan kain kafan”.

Amat mendukacitakan kes-kes ini kelihatan semakin berleluasa dengan pihak-pihak tidak bertanggungjawab semakin berani menonjolkan penghinaan yang berbaur provokatif terhadap umat Islam.

UMNO selamanya mendokong dan sedia mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi jati diri negara, tonggak kepada kedaulatan negara dan dijamin Perlembagaan Persekutuan. Kita lumpuhkan sebarang usaha dan dakyah jahat mengalihkan Institusi Raja-Raja Melayu dari istana ke muzium sepertimana yang berlaku di beberapa negara lain. Raja-Raja Melayu akan terus menjadi institusi semak dan imbang di Malaysia bagi mengekalkan keharmonian, perpaduan dan kelestarian Malaysia, raja dan rakyat berpisah tiada.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#demiummah
#akhiratdidepan


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.