Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani GAGAL Bela Pesawah

SAYA berasa amat kesal diatas KEGAGALAN Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) membekalkan benih padi sah kepada pesawah!

Kira-kira 100,000 pesawah terjejas di Kedah dan Perlis, apabila benih padi bersubsidi yang sepatutnya telah selesai dihantar 2 minggu lalu tetapi sehingga ke hari ini masih belum di terima. Sepatutnya pesawah sudah mulakan penanaman pada akhir September atau awal Oktober.

MOA telah menetapkan jadual penanaman berdasarkan ‘rice check’ yang dikeluarkan kepada pesawah untuk dipatuhi bagi meningkatkan hasil padi.

Namun kelewatan dan gagal menyediakan benih padi sah ini akan menjejaskan jadual penanaman padi yang pasti menjejaskan hasil padi mereka.

Isu benih padi sah ini telah pun saya bangkitkan 2 minggu lalu selepas perjumpaan saya dengan Persatuan Pengilang Padi Bumiputera Malaysia dan Persatuan Pengilang Sino-Malay Kedah. Walaubagaimana pun sehingga kini tiada respon dari pihak kementerian.

Kegagalan MOA untuk membekalkan benih padi sah ini pasti akan menjejaskan pendapatan pesawah yang terdiri dari golongan miskin.

Dahulu kerajaan BN telah menyediakan Program Insentif Benih Padi Sah ini bermula dari tahun 2006 lagi. Atas keprihatinan kerajaan BN, dalam Bajet 2017, RM1.3 Bilion diperuntukkan untuk subsidi harga padi, benih padi dan baja padi termasuk padi bukit. Ini juga merupakan usaha bagi membantu pesawah mengurangkan kos pengeluaran padi serta menggalakkan mereka menggunakan benih padi sah yang berkualiti, bermutu tinggi, rintang penyakit dan mengurangkan padi angin.

Saya harap Menteri Pertanian bertanggungjawab atas hal ini dan mengambil tindakan segera!

Perlu diingat! Jika pendapatan pesawah terjejas akibat KEGAGALAN MEMBEKALKAN BENIH, maka ianya akan memberi tekanan lebih besar kepada pesawah kerana tambahan pula awal tahun depan anak-anak pesawah akan memulakan persekolahan.

Jadi tidak cukup sekadar menteri untuk menangis! Pastinya pesawah akan lebih menangis mengenangkan masa depan mereka serta keluarga mereka.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Ketua Pembangkang
Naib Presiden UMNO

9 Oktober 2019


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.