Kerajaan PH Tidak Peka, Tiada Sensitiviti Hal Berkaitan Kedaulatan Negara

1. Pergerakan Wanita UMNO Malaysia kesal dan kecewa dengan dua tindakan yang amat tidak bertanggungjawab iaitu berkaitan kesilapan paparan bendera Malaysia pada perasmian Kejohanan Bola Keranjang ke-28 anjuran Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) dan paling menghiris hati adalah jawapan tidak tahu Kementerian Dalam Negeri berkaitan abu mayat pengganas komonis Chin Peng yang dibawa pulang ke Malaysia dua bulan lalu.

2. Walaupun MABA telah memohon maaf tetapi ia tidak memadai kerana perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku apatahlagi ia adalah acara yang dianjurkan di negeri sendiri. Mana mungkin penganjur tidak mengenali rupa Jalur Gemilang, lambang kedaulatan negara ini.

3. Inilah akibatnya jika semangat patriotisme tipis. Justeru, Wanita menggesa agar kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap perkara ini malah kerajaan juga harus segera menggubal Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 kerana kesilapan seperti ini bukanlah kali pertama terjadi.

4. Sudah sampai masanya Negara kita harus mempunyai akta lebih khusus berkaitan Jalur Gemilang.

5. Berkaitan abu mayat pengganas komunis Chin Peng pula, bagaimana KDN boleh memberi jawapan tidak tahu? Sudah pasti ada dalang yang bertanggungjawab dan perkara ini harus disiasat dengan segera.

6. Ini bukan perkara remeh kerana kesengsaraan yang ditinggalkan oleh komunis masih berbekas dan tidak mungkin dilupakan sampai bila-bila khususnya kepada mereka yang menjadi mangsa keganasan komunis ini.

7. Adakah kerajaan pimpinan Pakatan Harapan tidak peka dengan sensitiviti terhadap perkara ini? Kerajaan… Sila jawab, jangan lari!.

YB DATO DR NORAINI AHMAD
KETUA PERGERAKAN WANITA UMNO MALAYSIA
MERANGKAP AHLI PARLIMEN PARIT SULONG


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.