Jati Diri Bukan Barang Dagangan

Jati diri adalah identiti individu, masyarakat dan negara bangsa. Jati diri dapat mempersatukan sikap, semangat dan juga jiwa bagi mencapai tujuan dan matlamat pembinaan sesebuah negara. Justeru, jati diri sebenarnya menjadi salah satu pengikat jiwa, penggerak semangat dan penguat cintakan negara.

Rangkai kata Arab ada mengungkapkan ‘Hubbul Watan Minal Iman’, Syeikh Muhammad Abdurrahman al-Mubarakfuri dalam kitabnya Tuhfatul Ahwadzi Syarah Sunan at-Tirmizi menyatakan ‘mencintai tanah air adalah ajaran syariat Islam’. Daripada roh cintakan negara terbentuk nilai, idealisme dan pola fikir rakyat dalam sesebuah masyarakat dan negara.

Bendera Malaysia atau Jalur Gemilang adalah jati diri, identiti dan kedaulatan negara. Jiwa saya cukup tersentuh apabila kebelakangan ini Jalur Gemilang dihina dan dipermainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan sewenang-wenangnya. Jangan ambil mudah, lebih-lebih lagi sudah beberapa kali insiden seperti ini berlaku seperti Jalur Gemilang diterbalikkan, putih jadi hitam dan pelbagai lagi bentuk penghinaan yang tidak berlaku sebelum ini.

Jika sekali dua kita boleh menerima sebagai satu kekhilafan yang tidak disengajakan. Tetapi apabila sudah berkali-kali adakah itu masih boleh dianggap kekhilafan yang tidak disengajakan? Penghinaan ini tidak boleh diterima hanya dengan permohonan maaf.

Adakah isu bendera Malaysia dengan bintang pecah lima dan laporan bahawa abu mayat Chin Peng telah di bawa pulang saling berkait? Isu yang sangat mengejutkan malah mendukacitakan ramai rakyat negara ini, ditambah pula dengan laporan bahawa abu mayat Chin Peng telah ditabur di laut berdekatan Lumut dan Sitiawan Perak dan di hutan sekitar Banjaran Titiwangsa disertai upacara peringatan Chin Peng pada 16 September yang lalu.

Apakah ini adalah keputusan Kabinet sekarang? Kerajaan terdahulu telah membuat penetapan bahawa abu mayat atau mayat Chin Peng tidak boleh dibawa pulang dan ini keputusan Kabinet.

Saya sependapat dengan kenyataan Presiden PAS berkaitan dengan isu ini ‘Kebenaran membawa abu mayat Chin Peng tidak boleh dipandang hanya dari segi kemanusiaan dan keluarganya sahaja, tetapi perlu dilihat kepada perjuangan yang tidak beragama dan berperikemanusiaan yang tidak layak diberi penghormatan di negara ini. Tindakan mereka yang mengangkat martabat Chin Peng sebagai wira negara ini adalah fahaman paling salah dan sesat. Paling tidak menghormati para pahlawan yang berjuang menentang penjajah khususnya menentang komunis.’

Saya berpandangan kedua-dua isu ini berkait dengan jati diri dan identiti Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat. UMNO menggesa kerajaan mengambil tindakan yang tegas dan hukuman yang setimpal kepada mereka yang bertanggungjawab. Rakyat sedang memerhati sejauh mana ketegasan kerajaan terhadap golongan yang menghina negara ini.

Harus difahami dalam konteks sejarah Parti Komunis Malaya (PKM) telah ditubuhkan di Tanah Melayu pada bulan April 1930. Semasa kedatangan Jepun, PKM telah bekerjasama dengan pihak British untuk menetang Jepun dengan menubuhkan MPAJA iaitu tentera anti Jepun Tanah Melayu. Selepas Jepun menyerah kalah, PKM mengambil kesempatan menguasai Tanah Melayu dan ketika inilah beberapa siri keganasan, rusuhan dan kekejaman berlaku.

Chin Peng telah meraih kedudukan paling tinggi dalam organisasi Parti Komunis Malaya dan mengetuai siri-siri serangan dan pembunuhan. Lebih 10,000 orang meninggal ketika Chin Peng menjadi ketua pengganas. Berapa ramai tentera polis yang meninggal? Berapa ramai menjadi balu? Berapa ramai yang menjadi anak yatim? Turut menjadi mangsa ialah kaum bukan Melayu. Saya menyeru kepada seluruh rakyat dan anak muda bacalah, terokailah sejarah dan rasailah perit jerih pejuangan wira-wira negara memerdekakan negara ini.

Apa yang dibimbangi dek kerana terpengaruh dengan ideologi komunis, kedengaran suara dan desakan kalangan aktivis menggesa kerajaan untuk menilai semula buku teks sejarah dan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan oleh golongan berhaluan kiri termasuk Parti Komunis Malaya, (PKM). Adakah kita sanggup menggadai fakta sejarah dan mengiktiraf pejuangan Parti Komunis Malaya? Pakar Sejarah, Prof Datin Paduka Datuk Dr Ramlah Adam pernah menegaskan bahawa “Sejarah Malaysia tidak perlu ditulis semula. Setiap sejarah yang ditulis adalah berdasarkan rekod. Jadi kalau kamu kata komunis pejuang, apa buktinya? Mana rujukannya?”

UMNO sejak penubuhannya, telah meletakkan prinsip perjuangan dan jati diri sebagai satu keutamaan. Jati diri bukan barang dagangan dalam perjuangan. Terbukti walaupun telah mengalami beberapa siri ujian getir politik, UMNO dan ahli tetap bertahan di atas landasan perjuangannya. Pasca PRU-14 telah menyaksikan ada kalangan pemimpin UMNO yang beralih dan ingin beralih ke parti lawan. Itu pilihan mereka, tetapi perlu diingat akar umbi telah menilai jati diri mereka. Ini dapat saya rasainya sendiri bagaimana penolakan akar umbi terhadap mereka yang berbolak-balik jati diri perjuangannya.

Saya ucapkan syabas kepada akar umbi tetap kekal bersama perjuangan UMNO. Saya dapat rasakan aura jati diri akar umbi bersama kepimpinan bahagian kepada perjuangan UMNO semakin menebal dan mengukuh apatah lagi setelah Muafakat Nasional menjadi naratif baharu politik tanah air.

Saya yakin, jati diri dalam perjuangan adalah kunci utama UMNO dan ahlinya menghadapi aneka cabaran politik yang semakin menghimpit. Hanya mereka yang kental, cekal jati dirinya sahaja mampu bertahan bersama perjuangan UMNO dan Muafakat Nasional.

AHMAD ZAHID HAMIDI
#muafakatnasional
#demiummah
#akhiratdidepan


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.