Rapatkan Saf, Kekal Istiqamah Dan Sebarkan Roh Perjuangan UMNO

Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Pertamanya saya ingin mengalu-alukan kesemua para perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019. Saya turut ingin mengalu-alukan rakan baharu kita dari PAS. Selamat datang.

Syukur Alhamdulillah kerana kita masih diberi kesempatan untuk hadir dan berkumpul dalam satu majlis himpunan rumpun Melayu terbesar dalam negara ini.

Walaupun UMNO dilanda ombak besar sehingga kehilangan kuasa mentadbir negara ini semasa PRU 14 yang lalu, namun semangat ahli-ahlinya masih utuh dan setia bersama perjuangan UMNO.

Saya cukup seronok dan terharu melihat dengan semangat yang berkobar-kobar itu, Tuan-tuan dan Puan-puan datang dari setiap pelusuk negara bertuah ini ke PAU 2019. Dengan semangat itu jugalah rakan-rakan kita yang tidak dapat bersama dalam perhimpunan ini setia menonton dan mendengar di televisyen dan corong radio hatta di telefon bimbit sekali pun.

Gunakan pentas perhimpunan ini untuk saling mempererat jalinan persahabatan sesama kita. Rapatkan saf dan kekal istiqomah. Raikan perbezaan pendapat yang wujud atas semangat perjuangan UMNO. Ambillah iktibar daripada apa yang melanda parti lawan agar tidak terjadi kepada kita. Akibat tamakkan kuasa, sanggup bercakaran sesama sendiri.

Gunakan kesempatan ruang dan waktu ini juga untuk mendengar dan menghayati ucapan rakan-rakan yang lain kerana dalam setiap bait ucapan itu terkandung roh perjuangan UMNO. Kemudian sebarkan roh itu ke setiap ahli UMNO dan rakyat Malaysia yang sayangkan negara ini.

Mengakhiri kalam, saya sekali lagi ingin mengucapkan selamat datang kepada semua yang hadir ke PAU 2019. Semoga perhimpunan dan perjuangan kita ini diberkati dan dirahmati Yang Maha Esa. Aamiin Ya Robbal ‘Alamin.

UMNO-Sebuah Perjuangan

Ingatan Tulus Ikhlas,

DATO’ SERI MAHDZIR BIN KHALID
Naib Presiden UMNO Malaysia
Ketua UMNO Bahagian Padang Terap
Ahli Parlimen Padang Terap


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.