Mansuh Elaun, Penjawat Awam Terus Ditekan

Menerusi pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 20 Disember, pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) penjawat awam yang melibatkan sekurang-kurangnya lebih 33 skim perkhidmatan seperti jurutera, jururawat, pegawai perubatan dan profesional lain mulai lantikan 2020 mengejutkan banyak pihak.

Melalui laporan media sosial yang diterima, ramai penjawat awam menyuarakan kegelisahan tentang pemansuhan elaun tersebut.

Ini adalah satu episod malang penjawat awam menyambut kedatangan tahun baru 2020.

Kerajaan sepatutnya memberi penekanan kepada pemacuan ekonomi dan tadbir urus yang baik, serta strategi peningkatan ekonomi rakyat, juga solusi kepada kekurangan penjawat awam terutama sekali institusi perubatan dan bukan menyekat, memansuh, menghapuskan sebarang berkaitan elaun penjawat awam. Lebih-lebih lagi di waktu kos sara hidup terus meningkat, harga petrol akan dinaikkan 1-2 sen setiap minggu, pengenalan berbagai-bagai cukai yang semuanya membebankan, sepatutnya kerajaan mengambil tindakan mengurangkan tekanan dan bebanan kepada rakyat khususnya penjawat awam.

Saya khuatir prestasi kerja penjawat awam perlantikan baru akan terganggu, selain motivasi mereka akan berkurangan. Tidak mustahil para profesional akan beralih arah ke sektor swasta atau menceburi pekerjaan lain yang lebih memberi pulangan disebabkan sindrom ‘overworked and unpaid’.

Saya mendesak agar keputusan tidak wajar ini dibincang semula oleh kerajaan dalam sidang kabinet pertama pada tahun 2020.

Kerajaan patut lebih matang dan bijak daripada melakukan keputusan melibatkan periuk nasi rakyat. Sesudah pelbagai nasib malang menimpa penjawat awam – diugut, dikurangkan saiz perkhidmatan, dituduh pensabotaj, bonus dikurangkan, skim pencen dihapuskan, kini elaun kritikal lantikan baru pula mahu dihentikan.

Cukup-cukuplah tunjukkan sikap membenci penjawat awam yang sentiasa dituduh tidak setia.

Hentikanlah tindakan menekan dan menindas penjawat awam.

Kembalikanlah semula hak penjawat awam.

#bubarparlimen

Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Naib Presiden UMNO Malaysia


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.