Ekonomi Luar Bandar

PANDEMIK Corona telah mendatangkan impak yang tidak pernah tergambar dalam imaginasi kita. Ekonomi yang merudum, kehilangan nyawa yang besar, pergerakan global yang terhenti dan pelbagai lagi.

Kita di Malaysia tidak pernah terfikir bahawa ekonomi dan kehidupan kita akan teruji dengan cara sebegini. Alhamdulillah kita mempunyai Kerajaan yang berfungsi dengan baik dan mampu memberikan kelangsungan kepada kehidupan rakyat.

Satu segmen masyarakat yang memerlukan perhatian khusus ialah masyarakat luar bandar. Stimulus ekonomi kita mesti mempunyai strategi khusus untuk membantu ekonomi luar bandar.

Apatah lagi bila harga komoditi kita terjejas dengan parah akibat tekanan kepada permintaan. Daerah luar bandar tidak mempunyai ketersediaan teknologi seperti kawasan bandar. Mereka juga tidak mempunyai kuasa beli, pemain dan jaringan ekonomi yang mampu memapan ekonomi luar bandar.

Kadar kemiskinan luar bandar pasti akan meningkat dengan drastik. Malah dengan semakan kadar kemiskinan terbaru, jumlah kemiskinan luar bandar telah berganda. Ini akan menyebabkan jurang keberadaan bandar dan luar bandar semakin melebar.

Malaysia akan mempunyai ‘the pear society’ dan bukannya ‘the olive society’. Maksudnya jumlah yang miskin sangat besar di peringkat bawahan dan jumlah kelas menengah dan atasan meniris. Sedangkan yang idealnya ialah jumlah kelas menengah yang besar.

Ada beberapa strategi khusus luar bandar yang Kerajaan perlu lihat. Pertama ialah lakukan sesuatu yang radikal tentang Felda. Berikan insentif untuk mereka segera membangun aset mereka kepelbagaian penanaman dan penternakan. Bidang penternakan adalah sangat berpotensi dan mampu mengurangkan kebergantungan kita kepada import daging luar.

Kedua, ‘reenergise’ semula industri perikanan secara komprehensif. Ikan mesti menjadi sumber yang cukup kepada negara dan dengan lebihan untuk dieksport. Malaysia adalah negara lautan dan potensi lautan kita sangat luar biasa tetapi tidak dioptimumkan.

Ketiga, Malaysia mesti mempunyai strategi khusus dengan beberapa negara seperti di Timur Tengah sebagai ‘lembah makanan’ mereka. Kekurangan tanah subur, air dan pekerja telah menjadikan negara-negara Timur Tengah sangat bergantung kepada import bahan makanan. Malaysia mesti mendahului persaingan dengan menawarkan kepakaran, sumber dan logistik untuk menjadi pengeksport utama sumber makanan kepada negara Timur Tengah.

Keempat, kemahiran generasi muda luar bandar mesti segera dipertingkatkan. Mereka tidak boleh berhijrah ke bandar dalam keadaan ekonomi yang memburuk begini. Mereka mesti diberikan kemahiran sesuai dengan kepentingan ekonomi luar bandar dan membangunkan daerah kehidupan mereka.

Kawasan luar bandar Malaysia mesti dijadikan hab pertumbuhan baru yang lestari kepada ekonomi Malaysia. Dalam ghairah kita dengan segala macam ‘gig ekonomy’, ‘network economy’ dan pelbagai lagi, akhirnya ekonomi tradisional juga yang sebenarnya benteng utama kepada kemapanan ekonomi negara.

Membelakangkan potensi luar bandar Malaysia adalah membelakangkan potensi sebenar Malaysia.

Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO