Setahun MN: Tiba Masa Melangkah Ke Fasa Baru, Isi Erti Sebenar Perjuangan

KETUA Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan berkata, selepas setahun usia Muafakat Nasional (MN), kini tiba masa untuk melangkah ke satu fasa baru dan mengisi perjuangan yang sebenar-benarnya.

Ujar beliau, sudah pasti antara yang akan ditekankan adalah menambah perkara-perkara baharu khususnya dari segi tawaran dan pengisian MN itu sendiri selain terus memperkukuhkan kerjasama yang terjalin.

“Harapan saya di detik setahun MN yang terbentuk secara rasmi ini, dalam bulan-bulan mendatang, landasan kukuh yang telah terbina, kita akan perkukuhkan lagi dan akan tambah dengan perkara-perkara baru khususnya dari segi tawaran dan pengisian perjuangan MN itu sendiri.

“Mungkin ramai yang sudah nampak kesatuan parti dan kesatuan rakyat di bawah panji MN tapi mungkin ada yang tertanya apa dasar MN dan apa kita nak tawar kepada rakyat. Maka saya amat berharap kepada rakyat selepas tamat setahun ini, kita mula fasa baru, isi perjuangan MN yang sebenar-benarnya.”

Untuk rekod, setelah UMNO/ Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), UMNO dan PAS mula mencari titik persamaan bagi memperkukuhkan parti masing-masing.

Akhirnya, pada 14 September 2019, UMNO dan PAS mengisytiharkan pembentukan MN yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah menurunkan tandatangan pada piagam MN dalam satu himpunan bersejarah penyatuan ummah di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.