Keputusan Parti Dibuat Secara Berjemaah, Bukan Dari Kenyataan Peribadi – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak menggunakan kuasa mutlaknya sebagai pengemudi parti dalam membuat sebarang keputusan yang melibatkan kepentingan parti.

Sebaliknya ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, segala keputusan adalah secara berjemaah melibatkan pemimpin-pemimpin lain di dalam parti.

“Elok saya kongsikan kaedah di dalam membuat keputusan. Saya tidak akan, pernah menggunakan kuasa mutlak Presiden. Sebaliknya saya menggunakan proses membuat keputusan secara berjemaah.

“Dalam hal ini saya merundingi rakan-rakan saya bukan hanya di kalangan kepimpinan di peringkat tertinggi terutamanya Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden. Begitu juga kepimpinan di peringkat Biro Politik selain daripada lima orang yang ada di dalam kepimpinan utama, saya juga berbincang di kalangan rakan-rakan pemegang-pemegang utama termasuk Setiausaha Agung, Ketua Penerangan, Bendahari, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri dan saya mengambil langkah menjemput turut hadir semua Pengerusi Perhubungan seluruh negara supaya saya dapat menggali pendapat dan pendirian mereka.

“Setelah itu dilakukan, keputusan itu dibawa ke Majlis Tertinggi dan sekali lagi keputusan itu diperbincangkan dengan terbuka. Di dalam keadaan itu, ada yang bersetuju dan ada yang tidak bersetuju, akhirnya keputusan dibuat supaya kita mesti bersetuju untuk bersetuju, bersetuju untuk tidak bersetuju di dalam membuat keputusan,” ujarnya di dalam wawancara khas program Owh!MG terbitan Malaysia Gazette Rabu malam.

Oleh kerana itu ujarnya lagi, untuk mengelakkan kekeliruan akar umbi, kenyataan rasmi mengenai parti adalah dari Presiden atau Setiausaha Agung sahaja.

“Jadi di dalam hal itu, keputusan-keputusan yang dibuat sama ada kenyataan itu datang daripada Presiden atau Setiausaha agung, itu adalah kenyataan rasmi.

“Tetapi ada di kalangan di kalangan kepimpinan menggunakan pendapat peribadinya seolah-olah pendapat parti dan secara terbaik saya hendaklah menutup ‘mulut tempayan’ ini tetapi di dalam keadaan ‘langit terbuka’ tentunya keputusan peribadi jangan dianggap sebagai keputusan parti malah saya memberitahu mereka jawatan yang ada pada mereka menggambarkan pendapat peribadi itu adalah pendapat jawatan itu, dan jawatan itu mewakili parti.

“Oleh yang demikian saya telah memberikan nasihatkan kepada mereka jangan mengelirukan rakan-rakan di akar umbi. Maka kekeliruan itu menyebabkan kepelbagaian pendirian seolah-olah UMNO tidak ada hala tuju sedangkan hala tuju itu bukan hanya terlontar di dalam ucapan dasar presiden tetapi juga dikongsi pelaksanaannya proses pembuat keputusan yang telah saya sebutkan tadi,” jelasnya lagi.

Dalam soal kerjasama di dalam kerajaan sekarang, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata keputusan parti jelas bahawa Ahli-ahli Parlimen BN menyokong kerajaan Perikatan Nasional tetapi tidak pernah menyertai gagasan Perikatan Nasional sebagai ‘parti gabungan’.

Pada masa yang sama, katanya, UMNO juga mempunyai wadah politik yang dipanggil sebagai Muafakat Nasional yang ada piagam dan keputusan hasil mesyuarat bersetuju untuk mendaftarkannya.

“Di situ ada piagamnya, ada perjanjian persefahaman yang telah ditandatangani. Tentunya harapan bukan di kalangan ahli tetapi ummah keseluruhannya.

“Kita telah buat keputusan jika ada pilihan raya bahawa UMNO dan PAS jangan berlaga sesama sendiri di kerusi-kerusi yang telah dirundingkan, gunakan lambang masing-masing dan jentera di peringkat bahagian, parlimen dan Dewan Undangan Negeri ‘chemistry’ mesti diwujudkan dan telah diwujudkan terbukti dari kemenangan tujuh pilihan raya kecil lalu di mana kemenangan atas nama BN tetapi didokong oleh Muafakat Nasional,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE