Kerajaan Perlu Kuatkan Iltizam Untuk Kurangkan Penularan COVID-19 – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru kerajaan agar memperkuatkan lagi iltizam untuk mengurangkan penularan COVID-19.

Kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, beliau bimbang andai kerajaan terlalu bergantung kepada penggunaan vaksin yang masih di peringkat percubaan klinikal sedangkan kes ketika ini terus tinggi.

“Beberapa pakar kesihatan Malaysia dan ahli akademik telah pun memberi pandangan mengenai fungsi vaksin COVID-19. Mereka membayangkan vaksin bukanlah penyelesaian mutlak kepada usaha menamatkan sepenuhnya pandemik COVID-19.

“Mereka kata vaksin itu berkesan mengelak seseorang mengalami kesan teruk jangkitan itu, namun itu tidak bermakna seseorang yang telah divaksin tidak boleh menjadi pembawa virus itu.

“Mereka kata virus COVID-19 sesuatu yang baru dan kompleks. Masih memerlukan kajian serta pengumpulan data jangka panjang untuk dibendung secara berkesan. Mereka kata vaksin COVID-19 tidak bersifat menyembuh, sebaliknya bertujuan mencegah dan mengawal penyakit daripada menjadi lebih kritikal,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Jelas Ahmad Zahid lagi, pakar-pakar juga sependapat bahawa prosedur operasi standard (SOP) seperti penjarakan sosial dan sebagainya masih perlu diteruskan walaupun selepas program suntikan vaksin secara menyeluruh bermula.

“Ini bermaksud vaksin COVID-19 bukan bersifat magik. Bukan seperti iklan ubat yang berkesan menghilangkan sakit kepala dua kali lebih pantas. Ia akan mengambil tempoh masa tertentu sebelum kita dapat mengawal sepenuhnya penularan pandemik itu.

“Jika jumlah jangkitan kes tidak ditangani dari sekarang, dibimbangi Malaysia memerlukan masa lebih lama sebelum dapat menangani kadar jangkitan. Kerajaan perlu bertindak lebih proaktif dari sekarang supaya kadar jangkitan dapat dikawal dari awal. Kita tidak mahu lebih ramai yang tewas sementara menunggu program vaksinasi sepenuhnya bermula,” katanya lagi.

Seterusnya, Ahmad Zahid juga menggesa agar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketatkan dengan memberi bantuan yang sewajarnya kepada rakyat dan golongan peniaga supaya mereka dapat bertahan.

Begitu juga Ahmad Zahid tidak mahu Malaysia dilabelkan sebagai salah sebuah negara yang lambat berjaya dalam menangani pandemik ini.

Ulasnya juga, setiap hari beliau memantau perkembangan pandemik COVID-19 serta meneliti berita-berita yang dikeluarkan secara terperinci.

“Ada yang mengatakan saya cuba bermain politik. Tidak. Ini bukan tentang politik. Ini soal keselamatan dan kesihatan kita semua.

“Saya juga seperti saudara saudari berasa bimbang dengan pandemik ini. Setiap kita terdedah kepada jangkitan. Setiap kita ada keluarga perlu dijaga.

“Tetapi sebagai wakil kepada rakyat, menjadi tanggungjawab saya untuk memberi pandangan dan menyuarakan keresahan rakyat,” tegasnya lagi.

Ini berikutan katanya, semalam terdapat dua perkembangan mendukacitakan mengenai situasi pandemik COVID-19 di Malaysia.

“Pertama sudah dua hari berturut-turut hampir 6,000 kes jangkitan COVID-19 dilaporkan. Kedua, seramai 48 petugas kesihatan Hospital Sultanah Nur Zahirah disahkan dijangkiti COVID-19.

“Apa yang boleh kita tafsirkan daripada dua perkembangan ini? Pertama kes terus mencanak. Kedua barisan hadapan kian tertekan dan kepenatan.

“Kita berdoa barisan hadapan negara terus cekal dalam perjuangan ini dan sentiasa berada dalam perlindungan Yang Maha Esa. Ayuh kita semua bersama-sama bergading bahu membantu mereka mengurangkan kadar jangkitan. Patuh SOP dan segalanya,” serunya lagi. – UMNO ONLINE