Pulihkan Amalan Demokrasi, Atas Alasan ‘Sains dan Data’ Sidang Parlimen Wajar Dibuka

SUDAH 25 hari berlalu sejak Yang di-Pertuan Agong bertitah Parlimen boleh bersidang semasa tempoh Ordinan Darurat berkuatkuasa.

Namun sehingga hari ini masih tiada tarikh ditetapkan kerajaan untuk wakil rakyat kembali bersidang di Dewan Rakyat.

Fungsi Parlimen sebagai proses semak dan imbang dalam sistem demokrasi negara terus tergantung dengan alasan ‘sains dan data’.

Perlu ingat Parlimen mempunyai kedudukan paling utama dalam sistem demokrasi.

Parlimen adalah forum untuk rakyat menyuarakan permasalahan melalui wakil mereka yang dipilih dalam pilihan raya.

Merupakan badan perundangan Persekutuan yang memeriksa dasar-dasar kerajaan demi kepentingan negara.

Menjaga dasar pengasingan kuasa Eksekutif, Legislatif dan Judisiari bagi mengelak penyalahgunaan kuasa akibat pemusatan kuasa.

Justeru, saya berpandangan sudah tiba masa amalan demokrasi ini kembali dipulihkan juga dengan alasan ‘sains dan data’.

Pertama, fungsi Parlimen masih dapat diteruskan secara selamat termasuk secara maya seperti yang banyak dilakukan negara lain.

Kedua, ramai Ahli Parlimen telah mengambil suntikan vaksin Covid-19 sejak program vaksinasi kebangsaan bermula.

Ketiga, kebanyakan aktiviti lain termasuk persekolahan sudah pun dibenarkan beroperasi, maka tiada sebab Parlimen terus ditutup.

Keempat, Ahli Parlimen Batu Pahat beritahu dalam Facebook beliau telah lari sekeliling Parlimen sampai ‘ketaq’ lutut lari kelmarin.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu kata dia lakukan gimik untuk acara ‘Parliament Virtual Run 2021’.
https://www.facebook.com/265349686940118/posts/2133062916835443/

Ini bermaksud Parlimen adalah sebuah kawasan yang selamat dan akan tetap selamat apabila semua yang hadir mematuhi SOP.

DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
PRESIDEN