Bina Kekuatan Tanpa Harap Belas Ehsan… UMNO/BN Mesti Menang PRU-15

TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara terpenting dalam setiap perancangan yang diaturkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mesti menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Tegas Timbalan Pengerusi BN itu, bukan sekadar menang tetapi mampu menubuhkan kerajaan tanpa mengharapkan ehsan orang lain.

“Bukan sahaja setakat menang tetapi mesti berupaya untuk menubuhkan kerajaan, menang dengan selesa. Kita jangan hidup ini mengharapkan belas ehsan orang. Jika hidup kita sentiasa hidup belas ehsan orang kita tidak akan dapat membina kekuatan sendiri.

“Kita mesti bina kekuatan kita sendiri. Kekuatan yang boleh kita berdiri di atas kaki sendiri. Bila kita kuat, perkasa kita akan dapat jadi induk sebagaimana yang kita cita-citakan. Jadi mari kita sama-sama perkasakan parti kita dan hadapi PRU,” katanya ketika sesi penggulung Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, Ahad petang.

Begitu juga tegasnya berhubung tempoh masa penarikan sokongan parti dari menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Jika kita tadi dah bersetuju nak tarik diri pada bulan 8… jadi tarik diri pada bulan 8. Jangan kita main silat pulut tak sudah-sudah… pengantin depan… dia silat lama-lama letih sendiri.

“UMNO ini gajah, kita besar (parti) tetapi apa guna jadi gajah kalau masuk hutan pun satu ranting tak patah. Gajah kalau masuk hutan, pokok tumbang dia langgar semua. Jadi kalau nak langgar bulan 8… langgar… jangan acah-acah je, takde sudahnya. Kat mana kita nak bawa parti kita ini?

“Sekali kita melangkah jangan undur. Sebab itu saya katakan dulu langkah kita jangan dibaca dek orang. Sekarang kita dah bagitau orang langkah kita… jaga baik-baik, bulan 8 tiada apa-apa kita keluar ramai-ramai daripada kerajaan,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu.

Seterusnya, Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata sebagai teras parti politik di tanah air ini, UMNO mesti menjadi induk kepada pentadbiran negara.

Manakala, mengenai autonomi atas permintaan beberapa negeri, Mohamad berkata memberi kelonggaran adalah lebih baik.

Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga katanya mengambil maklum pandangan pembahas-pembahas dari negeri dan apa jua resolusi yang telah diberikan. – UMNO ONLINE