Beri Peluang Parlimen Bersidang, Darurat Untuk Bendung COVID – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 22 April – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertikai pelaksanaan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tujuan asalnya adalah bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Katanya, meskipun sudah hampir empat bulan darurat telah dilaksanakan, namun saban hari kadar jangkitan COVID-19 masih mencatatkan angka yang tinggi

“Apa sudah jadi? Sebanyak 19 sekolah di Selangor diarahkan tutup ekoran kluster pandemik COVID-19.

“Itu di Selangor. Belum mengambil kira sekolah di tempat lain yang juga ditutup akibat COVID-19.

“Bukankah ini tidak padan dengan titah Yang di-Pertuan Agong semasa mengisytiharkan Proklamasi Darurat? Bukankah baginda bertitah supaya Proklamasi Darurat digunakan sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19?” soal beliau melalui hantaran di Facebook.

Katanya lagi, sekiranya kerajaan sudah ketandusan daya dan idea, maka usaha membendung COVID-19 wajar diserah semula kepada Parlimen.

Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi melalui perbahasan di Parlimen pelbagai input akan dibahaskan ahli-ahli Parlimen yang juga mewakili rakyat.

“Kerajaan PN tidak boleh lagi memberi alasan sidang Parlimen tidak dibenarkan kerana darurat.

Walhal Yang di-Pertuan Agong telah lama bertitah sidang Parlimen boleh diadakan semasa tempoh darurat.

“Mungkinkah Yang di-Pertuan Agong boleh terus sahaja memanggil sidang Parlimen tanpa nasihat daripada PM?

“Jika boleh begitu adalah lebih baik kerana rakyat dan negara tidak boleh dibiarkan berada dalam keadaan yang tidak menentu,” tegas beliau. – UMNO Online