Vaksin Berlandaskan Maqasid Syariah, Dituntut Islam Untuk Elak Mudarat – Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkongsi bahawa agama Islam amat menitikberatkan penjagaan kesihatan termasuklah berkenaan pengambilan vaksin.

Beliau berkata pencegahan daripada sebarang tanda-tanda yang mampu menjejaskan kesihatan dan nyawa, tidak kira diri sendiri mahupun orang sekeliling, adalah fokus keutamaan ajaran Islam.

“Mencegah itu lebih baik daripada merawat, biasa kita dengar, agak klise tetapi bersifat pragmatik. Menurut ahli fuqaha, apa-apa penyakit perlu kita semua hindari, dirawati dan diubati.

“Justeru, penggunaan vaksin itu sendiri memenuhi Maqasid Shariah yang mana Hifz al-Nafs atau pemeliharaan nyawa termasuk dalam keutamaan yang dituntut Islam untuk mengelakkan kemudaratan yang lebih parah mendatang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Pasir Gudang berkata syarikat Pharmaniaga juga telah merujuk kepada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) berkenaan vaksin.

“Telah diputuskan, hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil golongan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Jadi, ia adalah satu langkah yang bijak untuk mendapatkan suntikan vaksin dan termasuk dari konsep tawakal. Kita bersandar kepada Allah dengan berusaha bersungguh-sungguh.

“Jika ada kesan sampingan vaksinasi sekalipun, selalunya ia bersifat ringan, sementara dan tidak berbahaya jika nak dibandingkan dengan kesan jangkitan wabak itu sendiri,” jelas beliau.

Tambah Mohamed Khaled untuk membentuk imuniti kelompok, sebahagian besar populasi wajar mengambil vaksinasi oleh itu rujukan kepada ahlinya atau pakar-pakar dalam sesuatu bidang yang berkaitan seperti Kementerian Kesihatan dan Jawatankuasa Khas Jaminan Bekalan Vaksin adalah wajar.

“Kita yakin dan percaya Allah adalah Maha Penyembuh segala penyakit tetapi Dia meminta kita berusaha.

“Insya-Allah, dengan mengambil vaksin, kadar morbiditi dan kematian akan berkurangan, hidup kita akan lebih aman, mental kita akan lebih tenang kerana mengetahui masyarakat telah dilindungi dengan vaksin,” jelas beliau. – UMNO Online