Bencana Berganda Jika Kerajaan Gagal Tangani Isu Ekonomi Rakyat – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 17 Julai – “Bencana berganda jika kerajaan gagal untuk tangani masalah ekonomi rakyat,” demikian luahan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menerusi ciapan di Twitternya, beliau berkata hampir kesemua sektor negara terjejas dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Hampir semua peruncit tempatan terjejas tentunya sektor lain juga seperti pelancongan, pembinaan, penerbangan, pengangkutan, perkhidmatan dan lain-lain.

“Tindakan polisi fiskal, ekonomi mikro dan makro mesti ditingkatkan segera,” jelas beliau.

Sementara itu, menerusi ciapan yang berbeza Ahli Parlimen Pontian itu juga meluahkan kebimbangan ekoran nilai Ringgit yang terjejas.

Katanya, keadaan ini berkait rapat dengan sektor ekonomi negara secara keseluruhannya.

“Oleh kerana sempadan negara ditutup, tiada faedah untuk sektor pelancongan. Barangan import jadi lebih mahal.

“Terbaik jika Ringgit kembali stabil, negara mesti lebih berdikari dan kurangkan import terutama makanan,” ujar beliau. – UMNO Online