Penularan COVID-19 Pengajaran Kepada Kerajaan, Sistem Kesihatan Perlu Dipertingkat – Shahril

KUALA LUMPUR, 22 Julai – Kerajaan perlu mengambil iktibar dalam mengurus tadbir penularan pandemik COVID-19 untuk ditangani sebaiknya bagi jangka masa panjang, tegas Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Hamdan.

Jelas beliau, kepimpinan dalam kerajaan jangan sesekali mendabik dada dan mengatakan penyelesaian sudah dicapai kerana virus mungkin akan datang kembali bergantung kepada naratif persekitaran.

“Ini bermaksud selepas dua atau tiga bulan ini kalau angka jangkitan ini jatuh sampai ke seribu atau kurang daripada seribu atau andai kata kita sudah mencapai kadar vaksinasi penuh pun jangan kita berasa yakin bahawa kita sudah selesai segala-galanya.

“Jadi itu pengajaran yang pertama supaya kita melihat ini adalah rancangan Allah SWT yang kita tidak tahu penghujung cabaran ini maka kena sentiasa dinamik melalui cara pengurusannya,” katanya.

Beliau berkata demikian secara langsung menerusi program ‘Eksklusif 60 Minit Bersama Shahril Hamdan, Sampai Bila…?’ di saluran ‘Youtube Awok Kiter Channel’, malam tadi.

Tambah Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia itu lagi, kerajaan perlu menyemak kembali perbelanjaan yang diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari masa ke masa.

“Kita lihat di Lembah Klang dan beberapa negeri lain kadar penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) sudah mencapai tahap yang kritikal malah ada satu ketika sebelum ini sudah ada penggunaan 100 peratus di sesetengah negeri.

“Di sini menjadi pengajaran kedua berkenaan perbelanjaan kita untuk sistem kesihatan, walaupun sistem kesihatan ini di antara yang kita banggakan kerana ianya adalah legasi pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Sakit macam mana pun, walaupun tidak ada insurans pun akan dapat rawatan di sistem kesihatan awam. Itu tidak ada pada semua negara, jadi ini merupakan satu kebanggaan kita yang sentiasa dipertahankan,” ujar beliau.

Bagaimanapun menurut Shahril, kerajaan ketika ini membelanjakan hanya empat peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) kepada sektor kesihatan berbanding dengan negara-negara maju yang lain.

Katanya, sekiranya kerajaan tidak belajar daripada kesilapan daripada kapasiti yang tidak mencukupi beliau khuatir generasi akan datang akan menyalahkan pentadbiran ketika ini kerana tidak belajar daripada pengalaman menangani pandemik ini.

“Maknanya bajet kesihatan kita empat peratus daripada KDNK berbanding daripada negara-negara maju yang lain seperti Jepun 11 peratus, Jerman 11 peratus, Korea 11 peratus.

“Sebelum ini kita barangkali beroperasi dengan satu andaian bahawa tidak ada pandemik yang kita pernah lalui sebelum ini jadi kita punya katil itu cukup untuk keadaan biasa, tapi adakah kita tahu bahawa ini adalah pandemik terakhir dalam generasi kita?

“Adakah ini wabak terakhir yang perlu kita urus dalam 10, 20 atau 30 tahun? Mana tahu kalau perkara serupa datang sekali lagi yang mana kita tidak boleh kata mustahil,” katanya lagi. – UMNO Online