Pelbagai Perkara Akan Dibawa Ke Parlimen Minggu Depan – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini berkongsi aturan Mesyuarat Khas Parlimen yang akan diadakan pada minggu depan.

Menerusi perkongsiannya di Facebook, beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO berpandangan perkara-perkara yang akan dibentangkan perlu diluluskan di Parlimen.

“Sefaham saya menurut Perkara 150 (3) Perlembagaan, ordinan-ordinan Darurat perlu dibentang, dibahas serta diluluskan di Parlimen. Moga ini akan dibuat minggu depan,” katanya.

Katanya lagi beliau telah melakukan persiapan sepatutnya dan banyak perkara akan dibawa ke Parlimen nanti.

“Saya sudah melakukan persediaan dan persiapan tentunya untuk berbahas. Banyak juga idea akan dicadang,” insya Allah,” ujarnya.

Memetik laporan, Sidang khas Parlimen akan berlangsung lima hari mulai 26 Julai ini.

Ahad lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, Ahli Parlimen boleh meminta penjelasan dan memberikan pandangan mereka pada persidangan khas itu.

Beliau berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada semua Ahli Parlimen menerusi notis pemberitahuan sidang khas bertarikh 15 Julai lalu. – UMNO Online